Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Siti Kasim tak gentar, akan teruskan perjuangan

Peguam dan aktivis Siti Kasim berkata dia tetap akan meneruskan perjuangannya walau selepas objek disyaki bahan letupan termampat (IED) ditemukan di bawah keretanya semalam.

Dalam siaran langsung di media sosial, Siti berkata dia gusar selepas insiden itu namun tetap akan ke mahkamah di Kelantan pada Isnin ini.

"Saya akan tetap pergi, tiada yang boleh halang saya.

"Saya perlu ada di sana untuk kawan-kawan Orang Asli dan bantu mereka," katanya.

Dia merujuk saman yang difailkan keluarga tujuh kanak-kanak Orang Asli yang lari dari asrama SK Pos Tohoi di Gua Musang pada 2015. Empat daripada kanak-kanak tersebut meninggal dunia sebelum ditemui.

Defendan termasuk kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan, serta pegawai dari Jabatan Pendidikan, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan polis, termasuk pegawai yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat.

Siti berkata dia akan menjadi saksi pertama dalam pendengaran selama empat hari di Mahkamah Tinggi Kota Bharu minggu depan.

Ketika menghantar keretanya untuk diselenggara sebagai persediaan untuk ke Kota Bharu semalam, mekanik menemukan objek mencurigakan di bahagian brek satu tayar belakang.

Polis menyatakan dua botol plastik yang ditemukan itu disyaki IED.

Menghargai polis yang melihat perkara itu dengan serius, Siti berkata polis telah melupuskan objek itu dan kini bertungkus-lumus untuk mengumpul bukti.

Dia juga berkata Ketua Polis Kuala Lumpur Shuhaily Mohd Zain telah memberi jaminan yang dia tidak akan membenarkan insiden itu berulang di bawah pemantauannya.

'Saya harap mereka ditangkap'

Mengulas lanjut, Siti mengecam pihak yang meletakkan IED itu sebagai "tidak berperikemanusiaan".

"Apa sahaja yang saya lakukan dan katakan selama ini adalah untuk kebaikan kita semua - untuk Malaysia, untuk kebaikan negara.

"Mengkritik tindakan kerajaan dan ahli politik bukanlah satu sikap tidak patriotik.

"Saya cuma harap mereka ini (pelaku) ditangkap," katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada para penyokongnya, terutama yang memberi sumbangan kewangan untuk usahanya dalam isu melibatkan Orang Asli.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan menggesa kerajaan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat insiden itu.

Dalam kenyataan semalam, Arutchelvan juga berkata polis perlu memberi perlindungan kepada Siti.

"Walaupun kita tidak mahu membuat spekulasi pada masa ini, insiden sebelum ini seperti kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat serta maklumat rahsia yang tidak didedahkan memberi tanggapan ada jenayah terancang yang berlaku dan tidak diselesaikan," katanya.