Hadi: Tak patut buru orang belum nyata kesalahan jam 3 pagi
Bersempena sambutan Maal Hijrah 1445, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengimbau perjuangan Nabi Muhammad SAW menegakkan negara Madinah yang ditukarkan daripada nama asalnya Yathrib atau Taibah.
Ahli parlimen Marang itu turut membandingkan perbandingan konsep madani oleh Rasulullah SAW dengan Malaysia Madani yang dibawa Pakatan Harapan (PH).
"Maka, tidak sepatutnya berlaku sepertimana peristiwa orang yang baru sahaja dituduh dan belum nyata kesalahannya, namun terpaksa ditangkap dan diburu pada jam tiga pagi.
"Apa yang ada pada mereka hanyalah jenama sahaja bagi menarik sokongan rakyat, dalam keadaan mereka bersifat menipu, berbohong dan lain-lain, serta bersifat seperti binatang sesumpah yang boleh berubah-ubah warnanya bagi menggoda rakyat yang sentiasa ditipu dan dizalimi.
"Kerjanya hanyalah mencari keredaan manusia, malah sokongannya bukan ikhlas kerana Allah SWT," katanya pada kenyataan yang terbit di Harakahdaily hari ini.
Walaupun tidak menyebut nama, presiden PAS itu dipercayai mengulas kejadian penangkapan menteri besar sementara Kedah Muhamad Sanusi Md Nor.
Sanusi ditahan di sebuah pangsapuri sewa di Kuala Lumpur pada pagi Selasa 18 Julai lalu sekitar jam 3 pagi dan didakwa di mahkamah kerana membuat kenyataan berbaur hasutan kira-kira lima jam kemudian.
Sementara itu, Abdul Hadi juga mengingatkan bahawa amal kebajikan yang besar dapat dilakukan melalui negara bermasyarakat madani yang berpandukan al-Quran.
"Bukan madani pada jenama sahaja, yang bergelumang dengan penipuan, mungkir janji, kezaliman, rasuah, maksiat dan berbagai-bagai salah laku," dakwanya lagi.
Sambutan Maal Hjrah 1445 (2023) peringkat kebangsaan pada tahun ini bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.
BACA BERKAITAN:
Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, fitnah memfitnah - Agong
Perpaduan aset utama Malaysia Madani - Pemangku Raja Perlis
Untuk rekod, Konsep Malaysia Madani menjadi dasar kerajaan baru selepas kali pertama disebut sebagai tema majlis dialog Belanjawan 2023 bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 18 Januari lalu.
Sejak itu, seperti slogan kerajaan sebelum ini - Keluarga Malaysia dan Satu Malaysia - ia diterjemah, disebar dan dizahirkan dalam pelbagai dasar dan program kerajaan.
Madani dalam akar bahasa Arab bermaksud kota atau peradaban dan dikaitkan dengan kota suci umat Islam Madinah.
Dewan Bahasa dan Pustaka memberi makna madani sebagai "maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan."
Istilah "masyarakat madani" selalu diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai "civil society."
Ketika Anwar bersama pentadbiran kerajaan pada 1990-an, dia memperkenalkan konsep masyarakat madani dan pemikirannya itu dinukil dalam buku The Asian Renaissance terbitan 1996.
Anwar juga telah menulis sebuah buku bertajuk "Membangun Negara Madani" yang diterbitkan tahun lepas sebelum pilihan raya umum.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai