Hamzah dakwa Zahid setuju sokong Anwar untuk selesaikan kes rasuah
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin mendakwa Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi setuju untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas PRU lalu dengan syarat kes rasuah terhadapnya diselesaikan.
Hamzah yang juga ketua pembangkang, mendakwa tawaran sama diberikan kepadanya selepas PRN Sabah pada 2020.
Katanya, persetujuan asal antara PN dan BN - yang ketika itu masih bekerjasama - adalah Hajiji Noor menjadi ketua menteri Sabah namun dia mendakwa Zahid mengubah fikiran di saat akhir.
"Zahid tiba-tiba ubah fikiran dan kata mahu Bung Moktar Radin jadi ketua menteri Sabah.
"Kawan saya telefon ketika subuh (sehari selepas keputusan PRN Sabah diumumkan) dan kata 'brother, boleh selesaikan dengan satu syarat, selesaikan kes presiden Umno'.
"Jadi perjanjian diadakan antara Anwar dan Zahid (selepas PRU15) kerana Zahid mahu kes dia diselesaikan," dakwa Hamzah dalam satu program di Sik, Kedah malam tadi untuk menunjukkan sokongan kepada menteri besar sementara Muhammad Sanusi Md Nor yang dihadapkan dengan dua tuduhan menghasut minggu ini.
Hajiji akhirnya tetap dilantik sebagai ketua menteri manakala Bung menjadi timbalannya.
Dengan tiada gabungan politik mendapat majoriti mudah dalam PRU15, ada persaingan pihak mana yang dapat memeterai persetujuan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.
Sementara BN pada mulanya dilihat cenderung untuk menyokong PN, gabungan itu akhirnya menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.
Dalam pada itu, Hamzah berkata dia baru-baru ini bertemu dengan kedua-dua presiden MCA dan MIC, Wee Ka Siong dan SA Vigneswaran, dan bertanya berkenaan sokongan BN kepada Anwar.
"Saya nak beritahu, depa kata tidak pernah ada keputusan BN menyokong Anwar seperti (dinyatakan) surat yang dihantar kepada Raja-raja Melayu.
"Kalau depa tipu saya (berkenaan perkara ini), (maka) saya tipu," katanya.
Namun, katanya lagi, PN sentiasa menjunjung dan mempertahankan institusi diraja dan maka mereka menghormati keputusan untuk melantik Anwar sebagai perdana menteri.
Atas dasar itu juga Sanusi tidak pernah menghina institusi diraja, katanya lagi.
"(Pihak) yang dia nak kacau adalah Anwar, (setiausaha agung PKR) Saifuddin Nasution Ismail dan (timbalan presiden PKR) Rafizi Ramli. Mereka yang kita nak kacau," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai