Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Amanah Kuala Langat bantah Hasnul dicalon bagi penggal ketiga

Menjelang pengumuman rasmi calon pilihan raya negeri (PRN), Amanah bahagian Kuala Langat membantah pencalonan semula penyandang Hasnul Baharuddin (gambar atas) untuk mempertahankan kerusi DUN Morib bagi penggal ketiga.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Amanah Kuala Langat Mohd Safiee Harun, bersama-sama sayap Pemuda, Wanita dan Wanita Muda bahagian itu, berkata sudah tiba masanya parti itu meletakkan calon baru di kerusi berkenaan.

"Kami ingin menegaskan penolakan ini kerana dia telah menjadi Ahli Dewan Negeri (Adun) Morib selama dua penggal dari 2013 hingga 2023.

"Kami berpendirian parti perlulah menampilkan muka baru yang lebih segar dan berwibawa dalam menggalas tanggungjawab membela rakyat, lebih-lebih lagi suasana politik negara yang berubah kepada trend politik baru yang lebih terbuka dan pantas," kata Safiee.

"Tiada individu sepatutnya mempunyai hak eksklusif untuk bertanding di mana-mana kerusi sehingga menafikan bakat individu lain untuk diberi peluang berkhidmat kepada rakyat.

"Peluang yang cukup telah diberikan kepada penyandang Adun Morib Hasnul Baharuddin dalam dua penggal lalu," katanya.

Untuk rekod, pada November 2021, polis Kuala Langat menyiasat Hasnul mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan secara sukarela, serta di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 2017, berdasarkan laporan yang dibuat oleh seorang wanita yang juga bekas isterinya, Juliani Jalilah Abdullah.

Pada masa itu, Hasnul mendakwa kejadian itu "tidak pernah berlaku" dan laporan itu dibuat dengan "niat buruk" selepas mereka bercerai.

Juliani bagaimanapun berkata, dia memfailkan laporan itu beberapa bulan selepas dakwaan serangan itu, untuk dikemukakan bagi rujukan kepada Mahkamah Syariah Kuala Langat yang telah mengesahkan lafaz cerai Hasnul yang dibuat di luar mahkamah melalui WhatsApp pada 14 Okt tahun yang sama.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor mengesahkan kes itu diklasifikasikan sebagai 'Tiada Tindakan Lanjut' (NFA).

Kenyataan Amanah Kuala Langat hari ini tidak menyebut kes Hasnul.

Ketika dihubungi, Safiee berkata dia tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan selain laporan media mengenai kes tersebut.

Katanya, kes Hasnul adalah "perkara peribadi" yang perlu dibincangkan oleh kepimpinan Amanah dalam membuat keputusan muktamad mereka.

“Biar dia (Hasnul) jawab kepada pucuk pimpinan. Itu terpulang kepada pertimbangan pemimpin.

"Bantahan kami adalah kerana beliau telah berkhidmat sebagai Adun selama dua penggal,” katanya.

Tambahnya, Amanah bahagian Kuala Langat telah menyerahkan nama calon pilihan mereka kepada pimpinan parti negeri Selangor, seterusnya menyerahkan senarai negeri kepada pemimpin pusat.

Sebelum ini, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim mengesahkan parti itu akan bertanding sembilan daripada 56 kerusi DUN di Selangor.

Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini berkata parti itu akan mengadakan majlis pengumuman calon pada 24 Julai bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.