Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Annuar tanya Anwar: Itu dokumen lupus hutang atau terbitan sukuk?

Annuar Musa hari ini menuntut penjelasan Anwar Ibrahim mengenai dokumen yang baru didedahkan perdana menteri sama ada ia sebenarnya merupakan pelupusan hutang peneroka Felda atau pengeluaran sukuk.

Menurut bekas setiausaha agung Umno yang kini menjadi ahli PAS itu penjelasan Anwar penting supaya rakyat "tidak terkeliru" dengan dokumen didedahkan di media sosial itu.

"Setahu saya, kabinet luluskan pelan pemulihan Felda pada bulan Okt 2020 lagi. Penghapusan hutang peneroka dilaksanakan pada 2021.

"Tindakan lain dalam melaksanakan pelan pemulihan Felda memang memakan masa lebih panjang termasuk sukuk dengan jaminan kerajaan (yang YAB perdana menteri tandatangan atas kapasiti sebagai menteri kewangan agaknya).

"Apa pun rakyat jadi keliru dengan posting YAB perdana menteri. Mungkin perdana menteriboleh buat pencerahan lanjut.

"Dokumen itu dokumen pengeluaran sukuk atau dokumen pelupusan hutang peneroka, pohon pencerahan," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu Anwar mendedahkan sebahagian daripada dokumen untuk membuktikan dia menandatangani skim pengecualian hutang bagi peneroka Felda.

Bukan terbitan pertama

Dokumen itu ialah Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA), serta pesanan sukuk yang dimuat naik Facebooknya hari ini.

Anwar mendedahkan dokumen itu selepas Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menuntut bukti bahawa perkara itu berlaku.

"Justeru itu, saya mendesak Muhyiddin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepada saya," kata Anwar dalam kenyataan berkenaan.

Semalam, Muhyiddin menuntut Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis susulan kenyataan berunsur fitnah mendakwa, hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak pernah dilupuskan di bawah pentabirannya sebagai perdana menteri.

Tuntutan tersebut dikemukakan dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.

Menurut surat berkenaan, firma guaman tersebut berkata permohonan maaf kepada Muhyiddin perlu disiarkan di akaun Facebook Anwar, semua laman sesawang serta platform yang memaparkan kenyataan Anwar.

Ketika berucap pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda di Serdang pada 7 Julai lalu, Anwar mendakwa pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.

Sebaliknya, kata Anwar, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion.

Muhyiddin bagaimanapun menyangkal kenyataan Anwar itu dan menyifatkannya sebagai pembohongan besar.

Sementara itu Annuar yang berterima kasih kepada perdana menteri kerana mengotakan janji untuk memuat naik dokumen berkenaan mendakwa ia adalah dokumen terbitan sukuk.

"Tapi saya tengok dokumen itu macam mengenai terbitan sukuk yang diputuskan akhir tahun 2020 dan diterbitkan secara berperingkat.

"Kalau tak silap saya, ini bukan sukuk pertama, tapi mungkin yang ketiga.Yang pasti ini bukan dokumen penghapusan hutang peneroka," katanya lagi.