Polis Kelantan terima dua laporan khianat kain rentang, bendera parti
Polis Kelantan menerima dua laporan membabitkan kejadian khianat terhadap kain rentang dan bendera parti, dari 15 Julai hingga semalam, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.
Beliau berkata kejadian tersebut, dilaporkan berlaku di Tumpat dan Kuala Krai, selain turut mengesan empat lagi kejadian yang sama berlaku di Kota Bharu.
“Perbuatan khianat ini dilakukan dengan cara mencabut serta menjatuhkan bendera parti, serta merosakkan kain rentang tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhamad Zaki berkata polis memandang serius berkenaan kejadian itu dan mengerakkan hampir kesemua ‘Team Cantas’ Kontinjen dan juga pasukan lain di bawah Ketua Polis Daerah, untuk mengesan dan menangkap pihak yang dipercayai terlibat, sama ada secara langsung atau sebaliknya.
“Sehubungan itu, diingatkan kepada semua ketua parti, badan bukan kerajaan (NGO) atau pengerusi mana-mana pertubuhan khususnya di Kelantan, supaya sentiasa menjaga dan mengawasi ahli dan pengikut masing-masing, supaya tidak merosakkan keharmonian dan keamanan serta merencatkan proses pilihan raya pada kali ini.
“Pelaksanaan proses berkempen hendaklah dilakukan secara sihat, harmoni dan mematuhi peraturan, undang-undang serta garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata polis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, tindakan tegas juga akan diambil polis Kelantan bagi mana-mana pihak yang cuba melakukan sebarang provokasi atau menimbulkan sebarang isu berkaitan dengan raja, agama dan kaum (3R).
“Pihak polis memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak memuat naik sebarang hantaran di media sosial atau menyebarkan berita yang boleh mendatangkan pecah keamanan dan kegusaran pada masyarakat terutama menyentuh isu-isu 3R,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai