'Lagi tepat bandingkan kes pak cik ditangkap hina Sanusi, bukan kes Anwar'
Tidak wajar membandingkan penahanan menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada awal pagi Selasa dengan penahanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 1998 kerana ia berbeza sama sekali.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata sesetengah pihak cuba membuat perbandingan antara dua kejadian itu tetapi hakikatnya tidak sama.
"Ada seorang pakcik yang ditahan 3 atau 4 pagi (pada 2021) kerana didakwa menghina Sanusi, saya rasa itu mungkin satu perbandingan tepat.
“Ambil pengajaran dan jangan sesekali menghina institusi raja.
"Jangan cuba lagakan rakyat dan raja…ini batas yang tidak boleh kita lepasi,” kata Fahmi kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Awal Muharram bersama Anwar dan Yang di-Pertuan Agong di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur hari ini.
Pada Ogos 2021, seorang warga emas berusia 61 tahun ditangkap atas kes menghina Sanusi selaku menteri besar Kedah.
Warga emas berkenaan dilaporkan ditangkap pada jam 3.57 pagi dan kemudian ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung video yang didakwa sengaja mengaibkan Sanusi.
Ketika itu, PAS merupakan sebahagian kerajaan persekutuan dan tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Azizan Hamzah.
Sementara itu, pada 1998, Anwar ditangkap di rumahnya ketika itu di Bukit Damansara, Kuala Lumpur oleh anggota polis berpakaian balaclava pada 21 Sept 1998.
Dia dihadapkan ke mahkamah dengan mata lebam selepas ditahan tanpa bicara selama seminggu. Mahkamah kemudian mendapati ketua polis negara ketika itu Rahim Noor bersalah kerana memukul Anwar.
Sebaliknya, Sanusi ditahan di sebuah pangsapuri sewa di Kuala Lumpur pada pagi Selasa sekitar jam 3 pagi dan didakwa di mahkamah kerana membuat kenyataan berbaur hasutan kira-kira lima jam kemudian.
Sepanjang urusan itu, Sanusi tidak digari.
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata terdapat keperluan untuk membentuk unit khas yang melihat kerjasama antara polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kementeriannya serta penyedia platform media sosial.
Unit itu akan ditugaskan untuk memantau dan mencegah isu sensitif seperti 3R (royalti, kaum, agama) daripada disalahgunakan semasa pilihan raya negeri, katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai