Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rafizi: Lucu bandingkan penangkapan Sanusi dengan Anwar

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia 'geli hati dengan cubaan lucu' untuk membandingkan penahanan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dengan penahanan presiden PKR Anwar Ibrahim pada 1998.

Rafizi berkata Anwar mengalami penderaan semasa penahanannya dan menghabiskan beberapa hari dalam tahanan tanpa bicara sebelum dibawa ke mahkamah atas pertuduhan yang direka.

Sebaliknya, kata Rafizi, Sanusi hanya ditahan sebentar untuk didakwa di mahkamah.

"Sanusi (ketika ini) jejaka 'Malaya paling glamour' (terkenal) tapi beliau tak masuk lokap pun yang beliau hanya ditahan dan didakwa tetapi ada yang nak disamakan (apa yang berlaku terhadap Sanusi) dengan Anwar masa 1998 dulu.

"Kalau ada orang sepak terajang Sanusi itu lainlah.

"Ini nasib baik beliau kena tahan dan dakwa je tapi kecoh, kononnya orang-orang dalam Kerajaan Perpaduan ni takut dengan Muhammad Sanusi sampai beliau kena tangkap pukul 3 pagi," katanya seperti dipetik BH Online ketika berceramah pada Majlis Jelajah Madani di Seberang Perai, Pulau Pinang malam tadi.

Pada 1998, Anwar ditangkap di rumahnya ketika itu di Bukit Damansara, Kuala Lumpur oleh anggota polis berpakaian balaclava pada 21 Sept 1998.

Dia dihadapkan ke mahkamah seminggu kemudian dengan mata hitam. Mahkamah kemudiannya mendapati ketua polis negara ketika itu Rahim Noor bersalah kerana memukul Anwar.

Rafizi berkata sebaliknya, Sanusi sekadar ditahan di sebuah pangsapuri sewa di Kuala Lumpur pada pagi Selasa dan didakwa kerana membuat kenyataan berbaur hasutan kira-kira lima jam kemudian.

Sepanjang urusan itu, Sanusi tidak digari.

Menurut Ketua Polis Negara Razarudin Husain, pihak keselamatan tidak mempunyai pilihan selain menahan Sanusi pada awal pagi kerana panggilan telefon mereka kepada Sanusi dan pegawainya ditolak.

Memandangkan Sanusi dijadualkan didakwa semalam, Razarudin berkata penahanan itu bagi memastikan kehadirannya di mahkamah.

Sementara itu, Rafizi berkata cukup pelik apabila pemimpin Perikatan Nasional seperti Sanusi boleh membuat kenyataan yang menyinggung institusi diraja, walaupun menggembar-gemburkan diri mereka sebagai 'pejuang Melayu'.

"Pelik mereka (PN) yang menunjukkan diri sebagai parti memperjuangkan Melayu, Islam didakwa atas kesalahan menghina raja. Kalau saya yang kata macam itu (memperlekehkan sultan) mesti PAS dah keluar berarak atas jalan hingga memerlukan saya kena masuk gua kerana takut untuk keluar.

"Saya nak nasihat lagi, kalau dia (Muhammad Sanusi) rasa dan nak jadi hebat, kacau, langgar itu ini tak ada masalah tapi kena bersedia terima akibatnya," katanya.