Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Salahuddin: Kes Sanusi tak akan cetus 'gelombang hijau' dalam PRN

Amanah yakin pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini tidak akan menyebabkan ‘gelombang hijau’ di enam negeri yang terlibat PRN pada 12 Ogos ini.

Timbalan presidennya Salahuddin Ayub berkata ini kerana rakyat sedar tindakan mahkamah tersebut dibuat berlandaskan undang-undang negara dan bukan bermotifkan politik.

“Saya rasa anak-anak muda, orang Melayu sebenarnya faham apa akhlak dan budi pekerti orang Melayu yang sepatutnya. Saya tidak rasa ia akan menjadi gelombang besar untuk rakyat menyokong tokoh politik seperti ini.

“Rakyat boleh menilai dan untuk itu berpeganglah pada prinsip, jangan melampau ataupun melampaui batas,” katanya kepada pemberita pada program pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Air Asia Superapp di KL Sentral hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Awang Hashim hari ini yang mendakwa proses pendakwaan terhadap Muhammad Sanusi dilakukan kerana tarikh PRN sudah semakin hampir.

Pagi tadi, Muhammad Sanusi, 48, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

Muhammad Sanusi, yang juga pengarah pilihan raya PN didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Penyandang kerusi DUN Jeneri itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

-Bernama