PM: Kenyataan kabinet bersih rasuah berdasarkan laporan pihak berkuasa
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kenyataannya berhubung prestasi Menteri Kabinet yang bebas rasuah adalah berdasarkan laporan hasil pemantauan pihak berkuasa.
Anwar berkata Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sebelum ini mempertikaikan kenyataannya itu, seharusnya perlu meneliti ucapannya yang dibuat berhubung perkara itu.
"Syed Saddiq perlu teliti ucapan saya, lapan bulan saya jadi perdana menteri dan dari semasa ke semasa saya ikuti laporan daripada Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terutamanya,” katanya selepas merasmikan Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di Sekinchan, hari ini.
Justeru, Anwar berkata dia berpuas hati dan bersyukur tidak ada kes yang menjejaskan integriti barisan kabinet di bawah pimpinannya.
Sebaliknya, Anwar menasihatkan ahli parlimen Muar itu untuk memberi perhatian kepada kes-kes rasuah melibatkan jumlah berbilion ringgit.
"Tanggungjawab saya dalam kerajaan Madani menjaga supaya jangan ada amalan ‘sakau’. Jadi laporan saya itu berdasarkan prestasi lapan bulan yang dipantau rapi oleh agensi penguatkuasaan tanpa mengira kedudukan dan parti termasuk parti kerajaan," katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai