Sumber: 2 pemimpin Bersatu Kelantan 'keluar kawasan' jadi calon PRN
Sekurang-kurangnya dua pemimpin Bersatu Kelantan dikatakan terpaksa keluar dari kawasan masing-masing untuk bertanding dalam PRN kali ini.
Menurut sumber, salah seorang adalah Ketua Bersatu Kota Bharu Mohamed Farid Zawawi (gambar utama) yang dijangka menjadi calon di kerusi DUN Kok Lanas.
“Bersatu Kelantan terpaksa melakukan transisi membawa pimpinan yang dianggap sebagai calon wibawa untuk bertanding di kerusi bukan bahagian diketuainya.
“Misalnya Mohamed Farid akan menjadi calon di DUN Kok Lanas di bawah Parlimen Ketereh dalam usaha untuk merampas kerusi milik BN itu.
“Dia terpaksa meninggalkan bahagian Kota Bharu walaupun sudah bekerja kuat di situ sebelum ini,” kata sumber dalaman PN yang enggan disiarkan namanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Semakan Malaysiakini mendapati Mohamed Farid yang juga pernah menjadi setiausaha politik bekas menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin sudah memulakan langkah untuk mendekati pengundi di DUN berkenaan.
Terdahulu media melaporkan PN Kelantan yang bertanding menggunakan logo PAS akan mengumumkan calon mereka pada 27 Julai ini.
PAS dilaporkan akan bertanding di 39 kerusi manakala Bersatu di enam kerusi.
Selain itu, sumber berkata Ketua Bersatu Pasir Puteh Kamaruddin Md Nor dijangka akan diletakkan di DUN Ayer Lanas di Jeli.
Menurutnya, Kamaruddin yang juga pengerusi Bersatu Kelantan akan bertanding di kerusi yang disandang Mustapa Mohamed, yang sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu.
“Langkah transisi ini terpaksa diambil memandangkan persetujuan dengan PAS bahawa Bersatu hanya akan bertanding di kerusi yang dimenangi BN pada PRU 2018.
“Pada peringkat awal Bersatu Kelantan diberikan lapan kerusi, namun perbincangan lanjut dan dengan permintaan PAS akhirnya hanya enam kerusi menjadi taruhan Bersatu.
“Empat lagi kerusi membabitkan Gual Ipoh, Paloh dan Nenggiri manakala satu kerusi lagi belum diputuskan, sama ada di DUN Bukit Bunga atau DUN Kuala Balah,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai