Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Mahkamah tiada kuasa bicarakan saman pembatalan HSR'

Mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan saman berhubung keputusan dasar awam kabinet untuk membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bernilai RM110 bilion antara negara ini dan Singapura, kata Jabatan Peguam Negara.

Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata demikian ketika menyokong permohonan kerajaan dan empat yang lain untuk membatalkan saman warga Malaysia Mohd Hatta Sanuri berhubung pembatalan projek infrastruktur itu.

Ahmad Terrirudin Mohd Salleh

Menerusi afidavit menyokong permohonan bagi membatalkan permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 7 April, Terrirudin mendakwa isu itu tidak wajar (bukan dalam bidang kuasa mahkamah) kerana keputusan kabinet adalah berdasarkan rundingan dengan republik Singapura serta kajian tentang kepentingan dan kos ekonomi negara.

Peguam kerajaan itu berhujah bahawa kerajaan dan empat defendan lain telah menggunakan kuasa mereka dengan betul berhubung keputusan kabinet yang pada mulanya untuk menangguhkan projek berkenaan dan kemudian membatalkannya.

“Saya sesungguhnya percaya dan menegaskan bahawa tindakan plaintif adalah sangat jelas tidak dapat dipertahankan kerana plaintif tidak tidak mempunyai locus standi (kedudukan perundangan) untuk memfailkan tindakan ini dan keputusan defendan adalah keputusan dasar awam yang tidak boleh dibicarakan oleh mana-mana mahkamah.

“Dengan itu, saya sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa tindakan ini adalah mengaibkan, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah yang mulia ini,” kata Terrirudin dalam pemfailan yang dilihat oleh Malaysiakini.

Selain kerajaan, empat lagi defendan yang menjadi sasaran saman itu ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin serta bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap ekonomi, Mustapa Mohamed, dan bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong.

Peguam Cara Negara seterusnya menegaskan bahawa bukan sahaja Hatta tidak mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam perkara itu, malah dia tidak mempunyai hak undang-undang untuk memfailkan tindakan sivil bagi pihak semua rakyat Malaysia yang lain.

Hatta, 47, memfailkan saman pada 30 Disember lalu, dengan menamakan pihak terbabit selaku defendan atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam dan cuai berhubung penamatan projek HSR.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, Malaysia membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos ditanggung bagi pembangunan projek HSR serta berkaitan pelanjutan penggantungannya.

Projek itu dijangka menyediakan tiga servis utama iaitu perjalanan secara langsung antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, servis domestik di Malaysia dan perkhidmatan 'shuttle' dari Iskandar Puteri di Johor hingga Singapura.

[Baca berita penuh]