Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Pelaburan Tesla pemacu perubahan baru ekonomi M'sia

ULASAN | Kerjasama ekonomi antara Malaysia dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan Space X, Elon Musk merupakan satu lembaran baru kepada lanskap pembangunan ekonomi Malaysia.

Ia merupakan bentuk pemacu perubahan yang sangat diperlukan dalam proses reformasi ekonomi yang lebih progresif, inklusif, moden, dan mampan.

Pasca pandemik Covid-19, umum mengetahui bahawa ekonomi Malaysia berada pada fasa pemulihan dan memerlukan satu bentuk game changer untuk mereformasi ekonomi secara struktural dan menyeluruh.

Sebelum pandemik lagipun, ekonomi kita sudahpun berhadapan dengan dua cabaran utama, iaitu cabaran revolusi teknologi dan juga cabaran krisis iklim.

Di sinilah kita perlu faham signifikasi kepada pelaburan syarikat Tesla Inc dan juga syarikat SpaceX kepada ekonomi Malaysia. Hakikatnya, kita bukan hanya inginkan pelaburan, tetapi kita memerlukan pelaburan yang berkualiti tinggi.

Kita bukan sahaja inginkan peluang pekerjaan diwujudkan, tetapi pekerjaan berpendapatan tinggi. Kita bukan hanya inginkan pertumbuhan ekonomi, tetapi pertumbuhan secara inklusif dan mampan.

Realitinya, proses perindustrian perlu ada peningkatan dalam rantaian nilai. Kita tidak boleh bergantung kepada aktiviti pengeluaran bernilai rendah seperti proses pemasangan asas semata-mata, serta kurangnya kesan limpahan ekonomi terutamanya di kawasan luar bandar.

Kita tidak boleh selama-lamanya hanya menjadi pengguna akhir kepada teknologi. Kita perlu ada juara yang akan membawa kemajuan dan penciptaan teknologi baru.

Kita tidak boleh lagi menjadi magnet kepada cheap labour sehinggakan ekonomi kita terlalu bergantung kepada buruh berkemahiran rendah yang mempunyai kos yang murah.

Kita perlu menjadi tarikan kepada pelaburan yang berteknologi tinggi dan akhirnya dapat mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi.

Kita juga perlu mengatasi isu existential pada ketika ini, iaitu krisis iklim ini secara tuntas.

Sudah lebih 30 tahun ekonomi kita berada pada kategori berpendapatan sederhana tinggi. Sebab itulah Bank Dunia menyatakan ekonomi kita mengalami masalah perangkap pendapatan pertengahan.

Untuk mereformasi ekonomi kita menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, ianya perlulah dipacu oleh aktiviti inovasi dan mempunyai tahap produktiviti yang tinggi.

Jadi, kedatangan Elon Musk sememangnya akan menjadi pencetus kepada permulaan sebuah perjalanan baru dalam mereformasi ekonomi kita.

Ia boleh dilihat sebagai permulaan kepada the great reset kepada ekonomi Malaysia.

Pelaburan Tesla Inc dan Space X ini dijangka akan memainkan peranan sebagai anchor kepada penyelesaian masalah ekonomi yang membelenggu rakyat pada ketika ini, seperti kadar pertumbuhan gaji yang mendaftar, kadar pertumbuhan kos sara hidup yang meningkat lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan pendapatan, masalah underemployment, graduan menganggur, kebergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah, dan banyak lagi.

Perkara pokok di sini adalah peranan kerajaan itu sendiri. Perlu ada satu bentuk hubungan yang simbiotik antara kerajaan Malaysia dengan Elon Musk.

Ini perlu digerakkan segera, seperti meningkatkan perbelanjaan dalam aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), terutamanya aktiviti R&D berkaitan dengan teknologi diperingkat permulaan yang memerlukan kos yang tinggi serta berisiko yang tinggi, untuk memastikan peralihan teknologi berlaku yang akhirnya akan meningkatkan tahap produktiviti negara.

Dengan peningkatan dalam tahap produktiviti, skop untuk peningkatan dalam pertumbuhan kadar upah negara juga akan menjadi semakin cerah.

Begitu juga dengan usaha untuk memperkasakan lagi tahap kekuatan permintaan domestik negara dalam konteks kecenderungan untuk melabur dalam ekonomi domestik secara keseluruhan, yang mana bukan sahaja dapat mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, tetapi juga dapat menarik minat pekerja mahir untuk bekerja di Malaysia.

Gah seperti Tesla?

Apa yang penting, rakyat serta pelabur mempunyai keyakinan bahawa ekonomi Malaysia pada ketika ini berada pada landasan yang betul dan mempunyai prospek yang baik di masa hadapan.

Maknanya, dalam jangka masa panjang, rakyat dan pelabur perlu melihat usaha yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini akan dapat meningkatkan prestasi ekonomi dengan pertumbuhan ekonomi yang menjanjikan kemakmuran dan kesejahteraan dalam hidup mereka serta ekosistem perniagaan yang kondusif untuk bakal usahawan dan juga pelabur untuk membina perniagaan, perdagangan, serta pelaburan mereka dengan lebih baik di Malaysia.

Dalam hal ini, inovasi, dan juga persekitaran untuk inovasi adalah sangat kritikal. Dengan adanya inovasi, teknologi baru yang dihasilkan haruslah juga dimanfaatkan kepada sektor-sektor lain yang kritikal, seperti dalam sektor pertanian, dan juga meningkatkan infrastruktur-infrastruktur digital terutamanya di kawasan luar bandar.

Kita perlu ada visi dan pemikiran yang lebih jauh untuk menjadi pemimpin dan juara kepada teknologi dan juga usaha untuk mengatasi masalah iklim dalam konteks ekonomi pasca pandemik.

Misalnya, apakah projek moonshot kita di masa hadapan?

Adakah ada program untuk mewujudkan usahawan teknologi tempatan untuk menjadi seperti Elon Musk suatu hari nanti?

Apakah akan ada syarikat Malaysia yang menjadi gah seperti Tesla Inc ataupun Space X di masa hadapan?

Kita perlu faham, kejayaan Elon Musk pada hari ini juga salah-satunya adalah hasil daripada hubungan simbiotik antara sektor awam dengan sektor swasta di Amerika Syarikat.

Syarikat-syarikat Elon Musk ini misalnya, telah mendapat subsidi berbilion dolar daripada kerajaan Amerika Syarikat untuk membangunkan kapasiti perniagannya.

Sebab itulah, jika kita ingin mendapatkan manfaat langsung dan juga secara jangka panjang, peranan pihak swasta sahaja tidak mencukupi.

Kerajaan perlu memainkan peranan aktif dan mempunyai hubungan bersama dengan pihak swasta. Maksudnya, kerajaan tidak boleh hanya menjadi facilitator semata-mata dalam hal ini.

Mengikut laporan media, Elon Musk dijangka akan datang ke Malaysia dalam jangka masa yang terdekat.

Diharapkan ada perbincangan dan maklumat yang lebih khusus, dan mungkin juga kita boleh melantik beliau sebagai penasihat khas berkaitan dengan pembangunan teknologi baru dan berimpak tinggi serta pembangunan dalam sektor aeroangkasa kepada kerajaan Malaysia.


PROF MADYA DR IRWAN SHAH ZAINAL ABIDIN ialah pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.