Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hujan lebat: 22 maut, ribuan dipindah di Korea Selatan

GLOBAL | Hujan lebat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang manakala 14 masih hilang dan beribu-ribu penduduk terpaksa berpindah dari kediaman mereka, agensi berita Yonhap memetik pihak berkuasa tempatan sebagai berkata Sabtu.

Pegawai juga cuba mengesahkan jumlah mangsa selepas 19 kenderaan dilaporkan hanyut dibawa arus di tengah bandar Osong.

Kebanyakan kematian dilaporkan dari wilayah tenggara Gyeongsang Utara, di mana 16 orang maut disebabkan kejadian tanah runtuh diikuti Wilayah Chungcheong Selatan, yang merekodkan empat kematian setakat 6 petang, menurut Ibu Pejabat Pencegahan Bencana dan Keselamatan Pusat.

Korban dikhuatiri meningkat apabila agensi kerajaan menilai kerosakan yang dilaporkan di seluruh negara.

Seramai 4,763 orang ditempatkan di pusat perlindungan sementara setakat petang Sabtu.

Presiden Yoon Suk Yeol mengarahkan kerajaan untuk "bertindak balas terhadap bencana dengan menggunakan semua sumber yang ada."

Yoon kini berada di Ukraine, sempena lawatan mengejut ke negara itu dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Presidennya Volodymyr Zelenskyy di Kyiv.

- Bernama-Yonhap