Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pastikan menang PRN dulu baru bincang jawatan MB - Mohamad

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan hari ini menggesa semua parti dalam kerajaan supaya menumpukan usaha untuk memenangi pilihan raya negeri sebelum berbincang mengenai calon menteri besar mereka.

Mohamad turut mengingatkan bahawa keputusan muktamad calon menteri besar terletak di tangan Sultan di negeri-negeri berkenaan atau di Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar.

"Pastikan menang dulu. Kalau minta-minta tapi tak menang pun tak guna juga.

"Janganlah kita berebut sangat jawatan, tapi pastikan kita boleh tubuh kerajaan dulu," kata Mohamad yang juga bekas MB Negeri Sembilan, seperti dipetik Harian Metro.

Pengerusi BN Negeri Sembilan itu dilaporkan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PH Negeri Sembilan Anthony Loke bahawa DAP akan menyokong menteri besar sementara Aminuddin Harun untuk kekal memegang jawatan itu selepas PRN.

"Dah tubuh kerajaan nanti, kita runding elok-elok siapa yang kita putuskan misalnya dalam Barisan Nasional (BN), siapa yang kita rasa paling layak.

"Selepas itu kita berunding antara BN dan PH jika kedua-dua parti boleh tubuhkan kerajaan," kata Mohamad.

Mengulas lanjut, Mohamad menyatakan bagaimana BN Johor semasa pilihan raya negeri berkempen supaya Adun Benut Hasni Mohammad dikekalkan sebagai menteri besar, tetapi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah memilih untuk melantik Adun Machap Onn Hafiz Ghazi.

"Itu parti tak boleh buat apa-apa kerana dalam perlembagaan, hak mutlak pelantikan menteri besar terletak kepada kuasa raja atau sultan," jelasnya.