Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Isu Sanusi: Kesalahan undang-undang tak selesai dengan mohon maaf - Azalina

Membangkitkan isu memecah-belah, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi raja-raja adalah satu kesalahan di sisi undang-undang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Azalina berkata walaupun kebebasan bersuara merupakan hak perlembagaan setiap warga Malaysia di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan itu tertakluk kepada Perkara 10(2) Perlembagaan bagi memastikan ketenteraman dan keamanan terjamin.

“Saya ingin membawa perhatian kepada tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di mana dia telah dalam ceramah politiknya, mempersoalkan kewibawaan Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan pemilihan menteri besar Selangor baru-baru ini.

“Sesiapa sahaja yang membangkitkan isu-isu yang membelah bahagi, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi Raja-Raja, harus ingat bahawa ini adalah satu kesalahan di sisi undang-undang,” katanya dalam ciapan di laman Twitter miliknya hari ini.

Muhammad Sanusi

Azalina berkata sebagai orang politik atau mana-mana orang yang dikurniakan kuasa, mereka seharusnya sedar bahawa pertuturan sedemikian ada kuasa untuk mempengaruhi orang ramai, terutamanya dalam musim pilihan raya.

Semalam, lima ahli Dewan Diraja Selangor (gambar, bawah) membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam yang didakwa mempertikai kewibawaan institusi diraja Selangor dalam pemilihan menteri besar negeri itu.

Mereka yang terdiri daripada Ambrin Buang, Mohd Zawawi Salleh, Mohammed Khusrin Munawi, Mohamad Adzib Mohd Isa dan Emran Kadir juga menuntut Muhammad Sanusi membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu tersebut dengan kadar segera.

Dalam hal itu, Azalina menerusi ciapan tersebut berkata tindakan yang bersalahan dengan undang-undang itu tidak akan terselesai atas alasan memohon maaf.

Dia berkata permohonan kemaafan bukan satu pembelaan dari segi undang-undang dalam perundangan jenayah.

Azalina juga mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kebebasan untuk menyiasat sesiapa sahaja yang membangkitkan isu 3R (raja, agama dan bangsa) yang melanggar mana-mana undang-undang tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN menerusi catatan di Facebooknya menyatakan dia telah mengutus warkah kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyatakan permohonan maaf atas kenyataannya sebelum ini.

“Saya dimaklumkan oleh Pegawai Istana Selangor bahawa Tuanku Sultan Selangor telah pun memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah saya itu pada Jumaat, 14 Julai," katanya.

Sanusi berkata dia juga telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dari Bukit Aman pada 2 pagi semalam (14 Julai) untuk melengkapkan siasatan mereka ke atas laporan-laporan yang dibuat ke atasnya.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran PN didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.

Menerusi video tular tersebut, Muhammad Sanusi turut didakwa meremehkan pelantikan Amirudin.

-Bernama