Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

UTM bangunkan alat pengesan gempa bumi

Sekumpulan penyelidik daripada Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Kejuruteraan Gempa Bumi (eSEER), Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru berjaya membangunkan alat pengesan gempa bumi yang dipasang pada bangunan.

UTM memaklumkan alat yang dinamakan “Wireless Accelerometer” dan dibangunkan sekumpulan penyelidik diketuai Dr Mohd Nur Asmawisham Alel itu bertujuan mengesan kehadiran fenomena gempa bumi dengan bertindak mengeluarkan bunyi siren amaran kepada penghuni dalam bangunan supaya keluar menyelamatkan diri.

“Alat ini dipasang pada struktur bangunan bagi mengesan kehadiran gegaran bumi. Ia dibangunkan untuk menghantar mesej kepada agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Langkah ini membolehkan agensi-agensi tersebut menggerakkan kekuatan masing-masing ke lokasi kejadian. Ini bagi mengelakkan pembaziran waktu dan sumber seperti pasukan penyelamat terpaksa mencari dan menyelamat di serata tempat tanpa mengetahui di mana punca berlaku gegaran yang sebenarnya,” menurut kenyataan itu hari ini.

Peranti itu dibangunkan dalam tempoh 30 bulan dari awal November 2019 hingga penghujung April tahun lepas.

Menurut UTM, alat itu dibangunkan menggunakan tenaga suria sebagai tenaga utama bagi menggantikan bateri dan juga tenaga elektrik konvensional yang terputus ketika gempa bumi berlaku, supaya boleh terus berfungsi dengan menghantar data kepada agensi berkaitan bagi kerja-kerja menyelamat dan analisis data.

Kata UTM, berdasarkan rekod, data dan fakta, walaupun Malaysia masih dikategorikan sebagai negara terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, seharusnya perlu sentiasa berwaspada dan bersedia dengan ancaman gempa bumi yang dilihat amat kerap berlaku di negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

“Sejak 2007 hingga 2015, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) merekodkan sebanyak 31 gegaran bermagnitud rendah di negara kita.

"Di samping itu, memetik laporan Survei Geologi Amerika Syarikat, lebih 65 gempa bumi direkodkan di Sabah sejak 1900, manakala lebih 20 gempa bumi dikesan di Sarawak sejak 1970.

"Malah, Malaysia juga pernah berhadapan dengan gempa bumi berukuran enam magnitud pada 2015 di Ranau, Sabah yang telah mengorbankan 18 orang," menurut UTM.

- Bernama