Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Kertas siasatan Hadi, Guan Eng, Sanusi dihantar ke AGC selewatnya Isnin ini'

Polis akan menghantar kertas siasatan membabitkan tiga pemimpin politik ke Pejabat Peguam Negara yang didakwa membuat kenyataan yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja), selewat-lewatnya Isnin depan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata polis telah selesai merakam keterangan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, manakala keterangan Pengerusi DAP Lim Guan Eng diambil hari ini di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang.

"Kita juga sudah selesai merakam keterangan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada jam 3.30 petang, semalam di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut (Kuala Lumpur)

"Kertas siasatan membabitkan ketiga-tiga ahli politik terbabit sedang dilengkapkan dan akan dihantar ke pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya Isnin ini," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Razarudin turut memaklumkansetakat jam 11 pagi tadi, sebanyak 31 laporan polis diterima di seluruh negara terhadap Muhammad Sanusi berhubung isu itu.

Semalam, Razarudin mengesahkan polis menyiasat Muhammad Sanusi, yang juga pengerusi PN Kedah, berhubung kenyataannya yang didakwa memperlekeh Sultan Selangor dalam soal pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.

Razarudin berkata, siasatan ke atas Muhammad Sanusi dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 50) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ahad lalu Bukit Aman mengesahkan siasatan terhadap Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R dengan mendakwa PN akan merobohkan tokong di Pulau Pinang, jika menang dalam PRN kali ini.

Bagaimanapun Guan Eng menafikan dakwaan itu sebaliknya mendakwa kenyataannya telah disalah tafsir, dan menjelaskan ia merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu berusia lebih 70 tahun di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.

Dia disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Abdul Hadi pula disiasat susulan satu hantaran di akaun Facebook yang disiarkan Sabtu lalu mengenai DAP. Dia disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razarudin berkata siasatan polis mendapati hantaran berkenaan mengandungi kenyataan yang berunsur perkauman yang boleh mencetus kegusaran awam.