Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pasfa nafi projek tanam sawit di Pahang tak patuh EIA

Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) menafikan dakwaan projek kelapa sawit diusahakan mereka di Kampung Darat Air Hitam, dekat Pekan, tidak mematuhi syarat ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengerusinya, Zamri Yaakob, berkata beberapa isu cuba dibangkitkan pihak tertentu berkaitan projek itu namun ia adalah tidak berasas.

Katanya projek itu diusahakan di atas tanah seluas 402.33 hektar milik Pasfa sendiri dan menerima Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) pada 2021.

"Pasfa sudah mulakan projek berkenaan tahun lalu dan mematuhi semua syarat ditetapkan JAS selain laporan EIA juga kita sudah terima sebelum memulakan kerja penanaman pokok kelapa sawit di situ.

"Projek itu dibangunkan di atas tanah hak milik (Pasfa) dan tidak membabitkan kawasan tadahan air atau hutan tanah gambut seperti didakwa," katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Zamri turut memaklumkan tanah itu dikategorikan sebagai kawasan tanah mineral dan menerima geran daripada kerajaan Pahang sejak 2019.

"Sepatutnya tidak timbul isu projek ini mengganggu kehidupan Orang Asli di kawasan berkenaan.

"Apa yang berlaku sebaliknya adalah kira-kira 40 hektar tanah kami diceroboh oleh pihak lain untuk penanaman kelapa sawit," katanya lagi.

Dia memberitahu satu laporan polis sudah dibuat Pasfa susulan kejadian pencerobohan tanah itu dan perkara terbabit kini dalam proses mahkamah.

"Beberapa isu dibangkitkan sebelum ini sudah selesai, kami mengadakan beberapa siri perbincangan membabitkan Jabatan Kemajuan Orang Asli serta pemimpin masyarakat Orang Asli di situ," katanya.

Zamri menjelaskan projek itu akan diteruskan seperti dirancang dan kerja penanaman dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Katanya, kos untuk kerja penanaman itu berjumlah RM5 juta dan setakat ini kira-kira 200 hektar sudah selesai ditanam.

"Pasfa menjjangkakan hasil tanaman kelapa sawit di kawasan itu boleh mula diperoleh mulai pertengahan tahun 2026 secara berfasa," ujarnya.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 5 Julai lalu mempertikaikan dan menggesa JAS membatalkan EIA bagi projek itu yang didakwa tidak dipamerkan mengikut garis panduan ditetapkan.

Menurut RimbaWatch pihaknya menerima laporan sebuah syarikat mula membersihkan hutan paya gambut berhampiran Kampung Orang Asli Air Hitam dan Tanjung Keruing di Pekan.

NGO itu mendakwa berdasarkan data satelit Global Forest Watch, kira-kira 310 hektar hutan ditebang, kurang 100 meter dari Kampung Orang Asli Air Hitam.

RimbaWatch juga mendakwa pembersihan tanah gambut untuk tanaman kelapa sawit adalah bertentangan dengan Pelan Tindakan Kebangsaan Tanah Gambut dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025.

Zamri berkata projek itu tidak boleh ditangguhkan dengan mengambil kira kepentingan lebih 70,000 ahli Pasfa di Pahang.

"Pasfa akan memberi perhatian serta mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan agar projek ini tidak menjelaskan alam sekitar.

"Paling penting projek ini mendapat kelulusan dan dibangunkan hanya selepas mendapat kelulusan EIA," katanya.