Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PM dijadual bertemu secara maya dengan Elon Musk esok

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan secara maya dengan CEO Tesla Elon Musk, esok 14 Julai.

Ketika ditanya pemberita mengenai pertemuan itu, Anwar membalas dengan jawapan "esok".

Dia berkata demikian selepas sesi dialog bersama agensi penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Anwar pertama kali memaklumkan perkara itu pada Jumaat minggu lepas dengan berkata dia akan bertemu dengan Musk minggu ini bagi meneroka cara untuk syarikat kenderaan elektrik utama itu menambah pelaburan di Malaysia.

Pada 1 Mac, 2023 Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kementeriannya telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport kenderaan bateri elektrik (BEV) ke Malaysia.

Di berkata Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia selain memperkenalkan pusat servis dan mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger.

Pada masa ini, pusat servis rasmi Tesla yang terdekat terletak di Singapura dan pemilik daripada program pajakan Greentech menghantar kenderaan mereka ke Hong Kong untuk kerja-kerja utama.

Sementara itu, ahli ekonomi yakin pertemuan antara Musk yang juga pengasas Tesla dengan Anwar akan mewujudkan reaksi rantaian dalam usaha negara menjadi hab kenderaan elektrik (EV) di rantau ini.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata perbincangan yang membuahkan hasil antara syarikat EV global dan pemimpin Malaysia itu juga akan membawa komitmen seterusnya yang boleh memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara amnya.

-Bernama