Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SPR mesyuarat Selasa ini tentukan tarikh PRK Kuala Terengganu

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 18 Julai ini bagi menentukan tarikh utama pilihan raya kecil (PRK) Kuala Terengganu, selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada PRU15.

Setiausaha SPR Indera Ikmalrudin Ishak berkata suruhanjaya itu semalam menerima laporan hakim pilihan raya berhubung keputuan mahkamah itu, mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Sehubungan itu, mesyuarat khas berkaitan urusan PRK Parlimen P.036 Kuala Terengganu akan diadakan pada 18 Julai 2023 (Selasa).

"Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Firuz Jaffril membatalkan kemenangan Amzad selepas mendapati ada unsur rasuah dalam pengagihan bantuan kewangan oleh kerajaan negeri - menerusi program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa - antara 15 hingga 17 November tahun lalu, iaitu beberapa hari sebelum hari mengundi.

PAS memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan itu, walau diberi tempoh 14 hari untuk berbuat demikian.

Menurut Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, ia agar ahli parlimen baru dapat dipilih dengan segera, berbanding proses rayuan yang memakan masa dan akan menyebabkan kawasan Parlimen itu terabai.