Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Fahmi setuju infografik J-Kom tak sensitif

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata dia setuju bahawa infografik berkenaan kos sara hidup oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) tidak sensitif dengan sentimen rakyat.

Fahmi juga berkata dia akan bertemu dengan J-Kom untuk membincangkan perkara itu.

"...Angka (yang dipaparkan) betul tetapi rungutan adalah ia (infografik) 'tone deaf' dan saya setuju.

"Saya fikir J-Kom perlu menilai semula sesetengah modus operandinya dan fokus kepada perkara-perkara utama. Jadi kami akan ada perbincangan dalaman tak lama lagi," katanya kepada pemberita di Bangi hari ini.

Semalam, J-Kom menyiarkan infografik yang menyatakan belanja dapur satu keluarga adalah kurang daripada RM400 sebulan, manakala belanja untuk individu bujang adalah kira-kira RM200 sebulan.

Infografik itu mengundang kritikan dengan ramai menyifatkannya sebagai tidak realisitik kerana perbelanjaan itu tidak termasuk keperluan asas lain seperti gula, susu, bawang dan sayuran.

J-Kom kemudian memadam bahagian gaji minimum namun mengekalkan anggaran belanja keluarga dan individu bujang, iaitu masing-masing kira-kira RM397.80 dan RM234.60.

Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff mempertahankan infografik itu, dengan mengatakan ia bagi menjawab dakwaan laporan dan kritikan sesetengah pihak menyatakan harga barangan berkenaan naik mendadak sehingga membabitkan kos daripada RM200 hingga RM500 sebulan.

"Simulasi itu dibuat berdasarkan enam barangan utama yang dikatakan harganya telah naik mendadak menyebabkan kos perbelanjaan meningkat daripada RM200 kepada RM500 sebulan," katanya.

Agus berkata J-Kom telah membuat tinjauan dengan pengguna sebelum membuat infografik tersebut.

Barangan yang disenaraikan dalam infografik tersebut adalah ayam, telur, beras, minyak masak, roti dan gas memasak.