Rumah di Kajang dipajak PM selama 10 tahun, kata peguam
Seorang peguam memberitahu kediaman yang dihuni Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kajang ketika ini dipajak selama 10 tahun.
Menurut peguam Anwar, SN Sankara Nair, perdana menteri menandatangani perjanjian pajakan selama 10 tahun untuk mendiami rumah terbabit.
Katanya perjanjian tersebut ditandatangani pada 2020.
"Harta yang dia diami sekarang adalah dalam pajakan. Ada perjanjian pajakan selama 10 tahun," katanya ketika ditemui media di Putrajaya hari ini.
Terdahulu Sankara Nair menemani setiausaha politik Anwar, Farhan Fauzi, untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan dibuat bekas anggota Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin dan dua yang lain berhubung kediaman di di Sungai Long itu.
Kelmarin Malaysiakini melaporkan Badrul Hisham merujuk rumah banglo yang didiami Anwar itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menggesa agensi terbabit menyiasatnya.
Menurut Badrul Hisham rumah terbabit sebenarnya dimiliki seorang “tauke Cina yang penuh misteri”.
Dia juga mendakwa memiliki dokumen berkaitan yang ditandatangani oleh setiausaha sulit kepada Anwar.
Sankara Nair berkata dia memiliki dokumen yang berkaitan bagi membuktikan kediaman tersebut dipajak.
Maklumat tersebut katanya juga boleh ditemukan jika dicari di pejabat tanah.
“Dakwaan itu bersifat sangat memfitnah kerana tidak ada kebenaran," katanya.
Tambah peguam itu lagi seseorang perdana menteri berhak tinggal di mana saja yang dianggap sesuai selagi ia dirasakan selamat.
"Dia (Anwar) mempunyai tempoh pajakan selama 10 tahun, jadi mengapa dia perlu keluar? Mengapa dia perlu berpindah hanya kerana dia perdana menteri?" katanya.
Sementara itu Farhan berkata dia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Turut dirujuk kepada pihak berkuasa, katanya, ialah bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan penulis blog Raggie Jessy Rithaudeen, berhubung kenyataan mereka yang didakwa mencemarkan nama baik Anwar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai