Peguam: Sekutu Jho Low ingin bantu dapatkan semula aset 1MDB
Bekas pegawai 1MDB Jasmine Loo yang ditahan minggu lalu ingin membantu usaha pihak berkuasa dalam mendapatkan semula aset berkaitan skandal itu, menurut peguamnya.
Amer Hamzah Arshad and Edmund Bon, yang mewakili Loo yang kini dalam tahanan, berkata keutamaan anak guam mereka adalah untuk memberi kerjasama kepada penguat kuasa undang-undang.
"Dia juga ingin bersatu semula dengan keluarganya secepat mungkin," kata mereka dalam kenyataan hari ini.
"Anak guam kami sentiasa menganggap Malaysia sebagai kampung halamannya.
"Apabila sesuai, dia akan mendedahkan fakta dan keadaan semasa tahun-tahun dia meninggalkan Malaysia," kata mereka lagi.
Dalam sidang media semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Loo, yang merupakan bekas pengarah eksekutif strategi kumpulan 1MDB, ditahan pada Jumaat lalu.
‘Minta diberi ruang’
Peguamnya turut berkata Loo memberi kepercayaan penuh kepada sistem perundangan dan kehakiman Malaysia dan berdepan "semua perkara sewajarnya".
Mereka juga berkata Loo minta diberi ruang untuk "melakukan apa yang perlu".
Semalam, Saifuddin turut berkata peguam Loo telah memberitahu pihak berkuasa dia sedia untuk bekerjasama dengan polis dan kerajaan dalam siasatan kes 1MDB.
Dia berkata Loo ditahan di Kuala Lumpur dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi dengan perintah reman diperolehi sehari kemudian.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, kata Saifuddin, yang bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan penahanan Loo.
Dia juga berkata tiada pengetahuan berkenaan perkembangan siasatan, termasuk sama ada Loo telah mendedahkan sebarang maklumat berkenaan Jho Low atau tidak.
Loo didakwa termasuk dalam lingkaran dekat Jho Low dan didakwa menerima dana 1MDB yang diselewengkan.
Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, Loo menerima AS$5 juta (RM23.2juta) ketika fasa Aabar-BVI skandal 1MDB dan AS$10 juta (RM46.5 juta) ketika fasa Tanore skandal tersebut.
Sekutu kedua ditahan
Loo merupakan graduan undang-undang dan salah seorang suspek yang dikehendaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes 1MDB.
Pihak berkuasa namun gagal mengesannya sehinggalah pada Jumaat lalu.
Tidak jelas jika Loo baru pulang dari luar negara ketika polis menangkapnya.
Dia menjadi sekutu kedua Jho Low yang ditahan pihak berkuasa Malaysia.
Pada Mei lalu, SPRM menahan Kee Kok Thiam, seorang lagi yang didakwa sekutu Jho Low, selepas dia dihantar pulang oleh pihak berkuasa Macau kerana berada di sana melebihi tempoh yang ditetapkan visanya.
Dia tiba di KLIA pada jam tiga pagi, 3 Mei lalu, di mana dia diarahkan untuk ke ibu pejabat SPRM pada jam 10 pagi hari yang sama.
Menurut Al Jazeera, Kee memberitahu SPRM dia bertemu Jho Low dan individu lain yang diburu - termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal Ariff Kamil - di Macau.
Dia juga dilaporkan berkata Jho Low mengarahkannya untuk "tidak pulang ke Malaysia sebagai saksi kes 1MDB".
Dia meninggal dunia pada 29 Mei ketika menerima rawatan di hospital. Perkembangan itu mencetuskan spekulasi sekitar kematiannya.
Bagaimanapun, keluarganya kemudian mengeluarkan kenyataan menjelaskan Kee meninggal dunia di hospital akibat "strok kuat secara tiba-tiba" dan meminta semua pihak untuk tidak membuat spekulasi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai