Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Dakwa difitnah, Syahredzan tuntut YDP PAS Bangi mohon maaf

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan memberi tempoh selama 48 jam kepada Yang Dipertua (YDP) PAS Bangi Mohd Shafie Ngah untuk memohon maaf dan membayar pampasan kepadanya susulan kenyataan fitnah yang dibuatnya.

Syahredzan berkata peguamnya hari ini telah menghantar surat tuntutan kepada Mohd Shafie yang antara lain menuntut permohonan maaf dan pampasan daripada Mohd Shafie atas beberapa kenyataan fitnah yang dibuatnya.

Dia berkata bekas Adun Bangi itu telah membuat beberapa kenyataan fitnah terhadapnya dalam dua majlis PN yang diadakan pada Oktober 2022 dan awal bulan ini, yang turut disiarkan di media sosial selain mendapat liputan media.

Dia menegaskan sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi dalam masa 48 jam, tindakan guaman akan diambil terhadap Mohd Shafie.

Syahredzan Johan

"Kenyataan-kenyataan yang dipertikaikan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan merupakan fitnah terhadap saya. Saya tidak berhasrat untuk mengulangi kenyataan-kenyataan memfitnah tersebut di sini," katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Syahredzan yang juga setiausaha politik kepada veteran DAP Lim Kit Siang, berkata dia terbuka untuk dikritik mengenai prestasinya sejak dipilih dengan sah pada tahun lepas menjadi Ahli Parlimen Bangi.

Namun, katanya PN lebih berminat bermain politik fitnah serta kebencian dan bukannya politik matang atau sejahtera.

-Bernama