Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pemimpin muda sedia debat tapi belum sepakat tarikh

Pemimpin dari sayap pemuda PAS dan Umno, serta Muda menyatakan kesediaan untuk menyahut cabaran Pemuda PKR untuk berdebat mengenai dasar kerajaan.

Bagaimanapun, nampaknya masih belum ada kata sepakat antara empat pihak itu mengenai tarikh dan lokasi debat itu perlu diadakan.

Sebelum ini, Malaysiakini dimaklumkan bahawa pihak-pihak berkenaan dijadual berdebat antara satu sama lain dalam acara anjuran sebuah portal berita minggu depan.

Malaysiakini difahamkan bahawa debat anjuran portal berita itu akan menampilkan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh, dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, Pemuda PKR menjelaskan bahawa cadangan debat mereka pada Selasa lalu adalah untuk acara yang berasingan.

Fadhli, yang dimaklumkan mengenai perkara itu menyatakan rasa hairan dengan Pemuda PKR.

“Kenapa pula perkara asing? Bentang sajalah idea di sana nanti. Kemudian kita tengoklah apa hasil, jika tak puas hati kita bincang pula," katanya.

Diminta mengulas, Naib Ketua Pemuda PKR Atyra Hanim Razali menjelaskan bahawa beberapa sesi soal jawab antara parti tidak sepatutnya menimbulkan sebarang isu kepada PAS memandangkan parti itu giat berkempen.

“Jika mereka (PAS) boleh berceramah hampir setiap malam sebelum pilihan raya negeri (PRN), pastinya persaingan idea dan kredibiliti antara penyokong, penonton dan pengundi atas pagar melalui debat dan dialog tidak sepatutnya menjadi masalah,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Akmal berkata dia tidak akan dapat menghadiri debat portal berita itu minggu depan seperti yang dijadualkan.

Ini kerana BN akan mengumumkan calon untuk enam pilihan raya negeri (PRN) pada hari yang sama, 21 Julai, di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur.

Namun dia memberitahu Malaysiakini bahawa dia akan terbuka kepada sebarang perbincangan dengan pemimpin belia lain pada masa depan.

“Insya-Allah,” katanya.

Secara berasingan, Naib Presiden Muda Zaidel Baharuddin menyatakan parti itu bersedia untuk menyertai debat.

Dia berkata perbincangan itu akan menyumbang kepada "budaya politik yang lebih sihat di Malaysia" dan berharap sebuah organisasi media akan secara sukarela menjadi penganjur.