Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tinjauan: Hanya 39 peratus belia yakin k'jaan boleh tangani perubahan iklim

Hanya 39 peratus responden yakin kerajaan boleh diharapkan dalam menangani krisis iklim di Malaysia, menurut satu tinjauan berkenaan sentimen golongan muda yang dijalankan inisiatif alam sekitar MyHutan.

Tinjauan itu juga mendapati hanya 37 peratus responden merasakan kerajaan memandang risiko perubahan iklim secara serius.

"Kurangnya rasa percaya ini boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor. ia mungkin timbul daripada tanggapan ada kekurangan dalam dasar, tindakan dan pelaksanaan langkah oleh kerajaan dalam menangani perubahan iklim.

"Mungkin golongan belia rasa kerajaan tidak memperuntukkan sumber yang mencukupi atau melaksanakan strategi yang berkesan untuk menampan kesan perubahan iklim.

"Ada juga kemungkinan persepsi kerajaan tidak melibatkan golongan belia secara berkesan atau mengambil perspektif dan idea mereka dalam proses membuat keputusan," menurut laporan tinjauan itu.

MyHutan adalah inisiatif di bawah Undi18 dan melancarkan laporan tinjauan mereka hari ini.

Mereka mengumpul 1,103 respons merangkumi empat ciri demografi - kaum, jantina, usia dan negeri - bagi menambah baik sampel tinjauan.

Tinjauan itu turut menunjukkan sebanyak 83 peratus golongan belia yang menjadi responden merasa bimbang dengan masa depan ekoran risiko perubahan iklim dan menganggap ia sebagai isu penting.

Sebanyak 70 peratus responden juga berpandangan melindungi alam sekitar adalah lebih penting daripada pertumbuhan ekonomi.

Namun, 60 peratus responden berkata mereka tidak mahu cukai yang tinggi dalam usaha menangani risiko perubahan iklim.

MyHutan berkata ia menunjukkan perlunya libat urus dan komunikasi yang berkesan berkenaan kos, manfaat dan alternatif untuk membiayai tindakan berkenaan iklim.

Mereka turut menggesa parti politik yang bertanding dalam PRN kali ini untuk mengutamakan dasar alam sekitar dalam manifesto.

Berdasarkan dapatan tinjauan, MyHutan memberikan lima syor kepada kerajaan:

  • Moratorium pembalakan dengan segera dan penilaian semula secara menyeluruh terhadap undang-undan pembalakan bagi membanteras pembalakan haram dan tidak lestari.

  • Dasar pengangkutan awam yang meliputi aspek kelestarian dan perancangan bandar yang mengutamakan pejalan kaki.

  • Pelaksanaan dasar fiskal, termasuk instrumen cukai karbon dan penggunaan instrumen kewangan alam sekitar, terutama instrumen pemindahan fiskal ekologi.

  • Rombakan undang-undang sektor perladangan dan pelaksanaan dasar perladangan yang memberi kuasa kepada peladang kecil dan menjamin keterjaminan makanan negara.

  • Komitmen kerajaan untuk menjana 50 peratus tenaga yang diperlukan bangunan-bangunan kerajaan dengan tenaga boleh diperbaharui.