Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri: Polis tahan sekutu Jho Low, Jasmine Loo

Polis telah menahan Jasmine Loo Ai Swan, iaitu sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang didakwa terlibat dalam skandal 1MDB.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Loo ditahan pada Jumaat lalu.

Menurut Saifuddin, peguam Loo telah memberitahu pihak berkuasa yang dia sedia untuk bekerjasama dengan polis dan kerajaan dalam siasatan 1MDB.

"Jasmine Loo Ai Swan, individu yang kami percayai ada maklumat berkenaan 1MDB, telah ditahan polis pada Jumaat, 8 Julai.

"Dia ditahan di Kuala Lumpur dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi. Polis telah mendapatkan perintah reman terhadapnya pada Sabtu.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan polis pastinya perlu menyiasat beberapa perkara," katanya.

Saifuddin namun enggan mengulas lanjut berkenaan penahanan Loo.

DIa juga berkata tiada pengetahuan berkenaan perkembangan siasatan, termasuk sama ada Loo telah mendedahkan sebarang maklumat berkenaan Jho Low atau tidak.

Loo merupakan bekas pengarah eksekutif strategi kumpulan 1MDB dan didakwa termasuk dalam lingkaran dekat Jho Low.

Dia juga didakwa menerima dana 1MDB yang diselewengkan.

Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, Loo menerima AS$5 juta (RM23.2juta) ketika fasa Aabar-BVI skandal 1MDB dan AS$10 juta (RM46.5 juta) ketika fasa Tanore skandal tersebut.

Sekutu kedua

Loo merupakan graduan undang-undang dan salah seorang suspek yang dikehendaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes 1MDB.

Pihak berkuasa namun gagal mengesannya sehinggalah pada Jumaat lalu.

Tidak jelas jika Loo baru pulang dari luar negara ketika polis menangkapnya.

Dia menjadi sekutu kedua Jho Low yang ditahan pihak berkuasa Malaysia.

Pada Mei lalu, SPRM menahan Kee Kok Thiam, seorang lagi yang didakwa sekutu Jho Low, selepas dia dihantar pulang oleh pihak berkuasa Macau kerana berada di sana melebihi tempoh yang ditetapkan visanya.

Dia tiba di KLIA pada jam tiga pagi, 3 Mei lalu, di mana dia diarahkan untuk ke ibu pejabat SPRM pada jam 10 pagi hari yang sama.

Menurut Al Jazeera, Kee memberitahu SPRM dia bertemu Jho Low dan individu lain yang diburu - termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal Ariff Kamil - di Macau.

Dia juga dilaporkan berkata Jho Low mengarahkannya untuk "tidak pulang ke Malaysia sebagai saksi kes 1MDB".

Dia meninggal dunia pada 29 Mei ketika menerima rawatan di hospital. Perkembangan itu mencetuskan spekulasi sekitar kematiannya.

Bagaimanapun, keluarganya kemudian mengeluarkan kenyataan menjelaskan Kee meninggal dunia di hospital akibat "strok kuat secara tiba-tiba" dan meminta semua pihak untuk tidak membuat spekulasi.