Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Kenapa Annuar saman balas lepas dikatakan contohi Hadi?'

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menyuarakan rasa hairan dengan tindakan ahli PAS Annuar Musa mahu membuat saman balas terhadap veteran DAP Lim Kit Siang.

Menurut ahli parlimen DAP itu, Annuar sepatutnya berasa disanjung jika dibandingkan dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Sejak menyertai PAS, kenyataan Annuar menjadi pelik. Semalam, antara perkara pelik yang dinyatakannya ialah niatnya untuk saman balas Kit Siang kerana mendakwa dia mencontohi Hadi.

"Adakah Annuar cuba menjadi relevan dalam arena politik negara selepas dipecat daripada Umno?" soal Lip Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Dia mengulas kenyataan Annuar, seperti yang dilaporkan oleh FMT awal hari ini, bahawa dia merancang untuk saman balas Kit Siang selepas veteran DAP itu menuduhnya mencontohi Hadi dalam membuat dakwaan liar, karut dan tidak berasas sejak menyertai PAS.

Minggu lalu, Kit Siang mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Annuar selepas Annuar mengaitkannya dengan rusuhan kaum yang membawa maut pada 13 Mei 1969.

Annuar Musa.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang turut membuat laporan polis terhadap Annuar berhubung perkara itu semalam berkata Annuar sepatutnya berasa gembira disamakan dengan Hadi.

“Di mata penyokong PAS, Hadi adalah seorang tokoh yang disegani. Justeru, bukankah satu pujian tertinggi bagi sesiapa daripada parti itu untuk mempamerkan sifat yang sama dengannya?

"Oleh itu, atas dasar apa Annuar mahu menyaman Kit Siang?" katanya.