Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perlu ada peraturan parlimen dakwa dan pecat PM - Speaker Dewan Negara

Yang di-Pertua Dewan Negara Ke-19 Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa peruntukan undang-undang di bawah peraturan mesyuarat parlimen untuk mendakwa (impeachment) perdana menteri Malaysia, jika perlu.

“Pendakwaan terhadap perdana menteri tidak ada dalam peraturan kita. Ia harus diperkenalkan.

“Ia dilakukan di England pada tahun 1800-an,” jelasnya.

Wan Junaidi yang juga bekas menteri undang-undang berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada forum "Kestabilan Politik Di Parlimen Tergantung” hari ini.

Prosiding impeachment merujuk pertuduhan salah laku yang dibuat parlimen terhadap pemegang jawatan awam.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Wan Junaidi menjelaskan dia mahukan peruntukan dalam peraturan mesyuarat parlimen bagi membolehkan penggubal undang-undang mengambil tindakan terhadap perdana menteri.

Wan Junaidi mengambil teladan undang-undang itu di United Kingdom (UK) apabila bekas perdana menterinya Tony Blair hampir didakwa pada 2004 kerana jenayah dan salah laku berikutan bukti pakatan sulit antara dia dan presiden AS George W Bush berhubung serangan ke atas Iraq.

Bagaimanapun, usul untuk menolak Blair tidak pernah dibahaskan di Dewan Rakyat UK.

Sudah tentu k’jaan tak benarkan usul

Wan Junaidi mengakui bahawa sistem parlimen Malaysia sudah mempunyai usul undi tidak percaya.

Bagaimanapun, dia berkata pengundian usul itu, yang boleh dikemukakan oleh pembangkang dan parti pemerintah, tidak pernah berlaku.

“Sudah tentu kerajaan akan memberitahu menteri (yang menjaga hal ehwal parlimen) supaya tidak (membenarkan usul itu dibentangkan di Dewan Rakyat).

“(Walaupun) ketua pembangkang membentangkan usul itu, mereka akan tertakluk kepada peraturan umum bahawa hal ehwal kerajaan mesti diutamakan.

"Maka usul ini tidak akan pernah dibahaskan,” kata senator itu.

Wan Junaidi juga menggesa ketua pembangkang supaya memasukkan prosiding mendakwa perdana menteri di parlimen dalam pembentangan rang undang-undang persendirian.

Pada masa sama juga, dia menggesa akta untuk tempoh penggal tetap parlimen bagi melengkapkan undang-undang anti-lompat sedia ada.

[Baca berita asal]