Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PRN: MCA mula jelajah 6 negeri untuk berkempen minggu ini

Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker, memaklumkan parti itu akan memulakan siri jelajah ke enam negeri yang terbabit dalam pilihan raya negeri (PRN) untuk berkempen bagi membantu BN minggu ini.

Dia berkata, siri jelajah itu akan disertai barisan tertinggi pimpinan MCA termasuk presidennya, Wee Ka Siong.

"Tidak timbul isu kita (MCA) akan memboikot PRN walaupun mengambil pendirian untuk tidak menawarkan diri bertanding, bahkan kami akan melakukan jelajah ke semua enam negeri bagi mendukung kerajaan Madani.

"MCA juga akan memastikan ahli parti keluar mengundi bagi memastikan kemenangan calon daripada kerajaan perpaduan pada Ogos ini," katanya kepada Malaysiakini di Kuantan, hari ini.

Ti turut memberi jaminan MCA akan kekal setia bersama perjuangan BN untuk menegakkan kedaulatan undang-undang berlandaskan peruntukan dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

"MCA kekal konsisten bahawa BN yang telah berjaya menjamin kesejahteraan, kesederhanaan dan kestabilan politik di Malaysia selama ini.

"Saya fikir BN masih relevan dan yakin dapat mengembalikan zaman kegemilangan negara untuk kebaikan semua rakyat seperti satu ketika dulu," katanya lagi.

Mengulas lanjut Ti berkata walaupun BN berdepan kekalahan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, namun ia berpunca daripada fitnah politik serta kes rasuah membabitkan individu tertentu dalam parti komponen BN itu sendiri.

"Tetapi secara keseluruhannya, MCA masih percaya dan yakin dengan konsep, semangat dan tradisi pentadbiran dibawa oleh BN.

"MCA juga menaruh kepercayaan penuh kepada ahli parti dan mereka akan terus menyokong perjuangan politik di bawah payung BN," ujarnya.

Pengerusi MCA Kuantan itu turut menyatakan keyakinan gabungan BN-PH bakal meraih kemenangan dalam PRN kali ini.

"Sekarang PH khususnya DAP yang mempunyai pengaruh besar dalam media sosial tidak lagi menjadikan MIC dan MCA sebagai sasaran serangan mereka.

"Jadi, pengaruh ini boleh disalurkan kepada pihak pembangkang dan ia akan memberi kelebihan kepada PH-BN dalam PRN di enam negeri itu," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 Julai lalu mengumumkan 12 Ogos sebagai hari pengundian untuk Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos.

Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos.

Dianggarkan PRN di enam negeri ini membabitkan kos sebanyak RM420 juta.