Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Peguam Kit Siang hantar surat tuntutan pada Annuar

Pasukan peguam Lim Kit Siang telah menyampaikan surat tuntutan (LOD) kepada bekas menteri Annuar Musa berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan rusuhan kaum yang membawa maut pada 13 Mei 1969.

Peguam veteran DAP itu, Sangeet Kaur Deo mengesahkan bahawa mereka telah menyampaikan surat guaman itu di rumah Annuar petang tadi.

“Menurut arahan daripada anak guam kami, kami hari ini telah menyampaikan kepada Annuar di alamat rumahnya surat tuntutan berhubung komen berunsur fitnah yang dibuat oleh beliau secara terbuka mengenai anak guam kami dalam ucapannya di Bachok, Kelantan pada 5 Julai, seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 7 Julai.

“Komen-komen tersebut, yang bersifat menghasut dan sensitif, adalah tidak berasas sama sekali.

"Anak guam kami telah menuntut penarikan balik, permohonan maaf dan sejumlah ganti rugi, jika gagal, kami diarahkan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap Annuar," kata Sangeet kepada Malaysiakini.

Dia menambah bahawa surat undang-undang - yang dikeluarkan oleh firma guaman Karpal Singh & Co - memberi Annuar 14 hari dari hari ini untuk memenuhi tuntutan Lim.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Annuar berhubung perkara itu.

Minggu lalu, dilaporkan Lim telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan terhadap bekas menteri itu.

Dia membidas Annuar, sambil menambah bahawa bekas pemimpin Umno itu "telah menyertai PAS dan perkara pertama yang beliau lakukan ialah mencontohi Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk membuat dakwaan liar, tidak masuk akal dan tidak berasas".

Lim berkata demikian susulan ucapan Annuar pada Rabu malam di Bachok, Kelantan, mendakwa DAP mempunyai "kepentingan" dalam rusuhan itu dan menuduh Lim mengapi-apikan isu bumiputera dan bukan bumiputera di Kota Kinabalu ketika pembunuhan berlaku di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Dalam membuat dakwaan itu, Annuar memetik buku yang menurutnya memuatkan ucapan Lim.

Bagaimanapun, Lim berkata buku itu tidak wujud.

“Tidak ada buku seperti itu. Ia adalah khayalan Annuar. Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan untuk membersihkan nama saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim berkata PAS menggunakan maklumat palsu dan ucapan kebencian menunjukkan parti itu menolak prinsip pembinaan negara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Lim mengulangi bahawa dia tidak terlibat dalam rusuhan itu, kerana dia bertanding di kerusi Bandar Melaka di Melaka pada masa itu sebelum terbang ke Kota Kinabalu untuk membantu calon bebas berkempen, kerana hari pengundian untuk Sabah dan Sarawak diadakan kemudian.

[Baca berita asal]