Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MP Kepong lapor polis kenyataan Annuar kaitkan Kit Siang dengan 13 Mei

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng memfailkan laporan polis terhadap ahli baru PAS, Annuar Musa kerana mengaitkan veteran DAP Lim Kit Siang dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Ahli parlimen DAP itu menggesa polis menyiasat bekas pemimpin Umno berkenaan di bawah Seksyen 499, 504 dan 505 (b) Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan undang-undang lain yang berkaitan.

Seksyen 499 merangkumi fitnah jenayah, manakala seksyen 504 dan 505(b) berkaitan dengan penghinaan, provokasi dan kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan orang ramai dan memecahkan keamanan awam.

Bercakap pada sidang media selepas memfailkan laporan itu, Lip Eng menggesa polis menghentikan pembohongan dan tuduhan tidak berasas terhadap DAP.

“Selama bertahun-tahun ramai yang melabelkan DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan antiraja dan mengaitkannya sebagai salah satu punca yang membawa kepada 13 Mei. Ini semua pembohongan.

"Saya mahu polis menghentikan dan membawa semua orang yang membuat pembohongan dan tuduhan tidak berasas ini ke mahkamah atas pelbagai kesalahan mereka," katanya.

Lip Eng berkata Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menerima DAP sebagai sebahagian daripada kerajaan persekutuan serta melantik DAP sebagai sebahagian daripada kabinet persekutuan.

Tambahnya, Agong juga telah mengurniakan Kit Siang dengan gelaran 'Tan Sri' baru-baru ini.

"Ini adalah jelas bahawa Agong dan majlis raja-raja Melayu menerima DAP dan Kit Siang. Kami adalah sebahagian daripada kerajaan dan bukan anti kepada kaum atau agama tertentu," katanya.

Lip Eng juga menggesa calon DAP yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang membuat laporan polis terhadap sesiapa yang menuduh pemimpin DAP atau menggunakan isu 3R - kaum, agama dan raja - dalam ucapan atau sepanduk mereka.

"Jangan tunggu lagi dan jangan berlengah lagi. Sekarang adalah masa untuk mengekang dan menghentikan pembohongan dan fitnah ini," katanya.

Sebelum ini, Kit Siang berkata dia telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Annuar, yang membuat kenyataan itu semasa ceramah di Kelantan minggu lepas.

Annuar Musa

Annuar mengaitkan penampilan sulung pemimpin DAP itu pada 1969 sebagai salah satu sebab di sebalik pertumpahan darah 13 Mei.

Annuar, bekas ahli parlimen Keterah, turut menggesa Kit Siang menyegerakan tindakan undang-undang itu.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menyatakan sokongan terhadap saman Kit Siang pada Annuar.

Dia kesal kerana Annuar akan terus mempermainkan isu 3R walaupun polis memberi amaran supaya tidak menggunakan isu sensitif dalam PRN.

Dia mendakwa sebab utama di sebalik 13 Mei adalah disebabkan oleh peningkatan ketegangan dalam Umno susulan kekalahan mereka dalam pilihan raya.

“Berdasarkan penganalisis, punca utama 13 Mei adalah kerana ketegangan dalam Umno di mana pihak tertentu dalam parti itu mahu Tunku Abdul Rahman bertanggungjawab atas kekalahan, dan akibatnya berundur daripada jawatannya.

"Kit Siang tidak berada di Selangor atau di Semenanjung (Malaysia). Dia telah pergi ke Sabah (semasa rusuhan sedang berlaku) dan dihantar pulang," katanya.