PJD Link: Mahkamah benarkan penduduk teruskan semakan kehakiman
Empat penduduk Petaling Jaya mendapat kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman berhubung dakwaan pihak berkuasa menyerahkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan dokumen lain berkaitan dengan cadangan pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link).
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dibuat mereka hari ini.
Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam penduduk Lim Wei Jiet mengesahkan kebenaran itu yang menuntut laporan EIA, laporan Penilaian Kesan Trafik (TIA) dan perjanjian konsesi projek yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
"(Hakim) Amarjeet Singh Serjit Singh membenarkan permohonan semakan kehakiman diteruskan," kata Lim.
Katanya lagi, Pejabat Peguam Negara (AGC) yang mewakili kerajaan membantah semakan kehakiman itu dengan beberapa sebab teknikal, namun mahkamah menolak bantahan itu.
Dia berkata mahkamah menetapkan 24 Julai untuk pengurusan kes semakan kehakiman.
Mahkamah kemudian akan menetapkan satu tarikh untuk mendengar hujah lisan permohonan dan merit semakan kehakiman itu.
Peguam Persekutuan AGC M Kogilambigai ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu.
Pada 7 Jun lalu, empat penduduk Petaling Jaya memfailkan tindakan itu atas keengganan pihak berkuasa untuk mematuhi ultimatum tujuh hari yang diberikan untuk menyerahkan dokumen-dokumen tersebut.
Semakan kehakiman menyasarkan empat responden - ketua pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia), pengarah PlanMalaysia Selangor, kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan.
Menurut salinan afidavit yang menyokong tindakan undang-undang itu, penduduk Petaling Jaya T Chakaravarthi berhujah mereka terpaksa memfaikan permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana pihak berkuasa gagal memberi jawapan.
Chakaravarthi berkata, memandangkan penduduk akan terjejas secara langsung dan tidak langsung oleh projek PJD Link, mereka mempunyai hak untuk mengakses dokumen bagi mendapatkan maklumat yang komprehensif dan mendalam tentang skop, impak dan terma berkaitan projek itu.
Katanya lagi, mereka perlu diberi akses laporan SIA untuk memastikan kesan projek PJD Link ke atas penduduk sekitar dan kegiatan mereka.
Dia turut mendakwa mereka perlu diberi akses perjanjian konsesi projek agar penduduk dan orang awam dapat memberi pandangan berkenaan jika terma projek berat sebelah kepada syarikat terlibat, dan jika terma projek tidak memberi kebaikan kepada alam sekitar dan penduduk sekitar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai