Keluarga Beng Hock masih tunggu nak jumpa PM
Sejak Anwar Ibrahim memegang jawatan tertinggi negara pada November tahun lalu, keluarga Teoh Beng Hock masih gagal mendapatkan temu janji untuk bertemu perdana menteri itu.
Bagaimanapun Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching memberi jaminan usaha sedang dilakukan untuk mengadakan pertemuan berkenaan dan mendapatkan keadilan kepada keluarga mendiang.
Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009, di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat semalaman di ibu pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan yang sama.
Semasa upacara memperingati kematian mendiang di Kuala Lumpur semalam, adik Beng Hock, Teoh Lee Lan, mengimbau kembali bagaimana Anwar sebelum ini menyatakan sokongan kepada keluarganya.
Ini termasuk melawat tapak di mana Teoh ditemui mati dan juga menghadiri majlis pengebumiannya.
"Kami berharap Anwar masih mengingatinya, mengingati keluarga kami, dan kami berharap beliau menetapkan tarikh pertemuan secepat mungkin," katanya.
Dia berkata pihak keluarga berharap Anwar dapat segerakan siasatan berhubung kematian Teoh.
Teoh pada masa itu adalah pembantu politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor dan Adun Seri Kembangan dari DAP, Ean Yong Hian Wah.
Pada 2011, suruhanjaya siasatan diraja (RCI) memutuskan bahawa Teoh membunuh diri selepas disoal siasat secara agresif oleh SPRM.
Pada 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh perbuatan "orang atau individu yang tidak dikenali", termasuk pegawai SPRM yang menyoalnya semalaman sebelum dia ditemui mati.
Pengerusi Amanah Teoh Beng Hock, Ng Yap Hwa memberitahu yayasan dan keluarganya telah menghantar surat kepada Anwar dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail sejak tahun lepas.
"Kami harap anda masih ingat sebab anda hadir di Plaza Masalam 14 tahun lalu. Saya harap anda masih ingat mangsa tidak bersalah yang meninggal dunia di SPRM.
"Mereka pastinya tidak berkongsi semangat kerajaan Madani anda. Jadi kami berharap anda boleh mengambil langkah untuk mencari penyelesaian bagi kes Beng Hock.
“Kami berharap kerajaan Madani dapat menubuhkan pasukan penyiasat polis baru untuk menyiasat kebenaran di sebalik kematian politik Beng Hock,” katanya.
Sementara itu, Teo - mewakili DAP - memberi jaminan kepada keluarga dan penyokong bahawa parti itu tidak pernah melupakan Beng Hock.
Katanya, DAP juga telah menyampaikan hasrat keluarga dan Amanah Beng Hock untuk bertemu Anwar.
Bagaimanapun, dia berkata mereka masih menunggu tarikh yang sesuai.
"Kami percaya bahawa dengan membawa keluarga bertemu dia (Anwar) secara bersemuka untuk membincangkan perkara ini sebenarnya akan membantu kami menjelaskan, untuk memastikan usaha terbaik dilakukan untuk mencari keadilan untuk Beng Hock," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai