Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Peguam saran pengampunan 'daulah terpendam' bagi kes sensitif

Seorang peguam mencadangkan agar kerajaan memberikan pengampunan kepada "deep state" (daulah terpendam) bagi mengetahui kebenaran dalam pelbagai kes sensitif, seperti kematian Teoh Beng Hock, kehilangan paderi Raymond Koh dan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Andrew Khoo berkata, ia merupakan satu cara untuk mengatasi risiko kejatuhan institusi akibat pembongkaran "rahsia" daulah terpendam.

"Jika mana-mana kerajaan beritahu kita kebenaran, kebimbangan adalah kerajaan akan runtuh.

"Kepercayaan rakyat terhadap sistem akan runtuh. Keyakinan rakyat terhadap penguatkuasaan undang-undang dan sebagainya akan runtuh, dan tiada kerajaan yang mahu diberikan bukti yang akan menyebabkan keruntuhan itu.

"Tiada kerajaan yang mahu berkongsi rahsia yang akan membawa kepada keruntuhan itu. Jadi dengan sedihnya, saya mahu bersikap jujur dengan semua kamu di sini hari ini.

“Saya tidak fikir pada masa ini dalam hidup kita, kita akan melihat kebenaran," katanya.

Dia berkata demikian semasa upacara memperingati ulang tahun ke-14 kematian Teoh di Kuala Lumpur semalam.

Daulah terpendam bermaksud "negara dalam negara" yang mengikut agenda sendiri di luar kepimpinan politik negara.

Mengenai peristiwa 13 Mei, Khoo berkata walaupun selepas 50 tahun, rakyat masih tidak mengetahui kebenaran mengenainya.

Justeru dia berkata, Malaysia perlu belajar daripada negara-negara lain yang telah mengalami sejarah gelap yang tragis, dan menubuhkan satu suruhanjaya kebenaran dan rekonsiliasi - atau badan yang serupa - untuk menggalakkan mereka yang tahu kebenaran supaya tampil.

"Datang, beritahu kebenaran, dan anda akan mendapat imuniti daripada pendakwaan. Tetapi sekurang-kurangnya kita akan mendapat kebenaran.

"(Tetapi) kita tidak kelihatan bersedia untuk melakukannya pada masa ini," katanya.

Khoo berkata kerajaan pada hari ini tidak mungkin mengambil langkah ini, disebabkan kelemahan dan kurangnya keberanian.

Perjuangan diteruskan

Bagaimanapun, peguam tersebut berkata Badan Peguam Malaysia akan terus berjuang demi keadilan dan membongkar kebenaran dalam kes Teoh dan kes-kes lain.

"Terdapat banyak lagi rahsia, bukan hanya ini, masih banyak isu lain yang belum kita hadapi.

"Tetapi mudah-mudahan, suatu hari nanti, mungkin dalam hayat kita, kita akan mempunyai kekuatan untuk bangkit dan berkata, kita sudah cukup matang, kita mampu menghadapi kebenaran, biarkan kebenaran terungkap, biarkan cahaya kebenaran menyinari semua bahagian gelap dalam hidup kita, negara kita, supaya kita dapat bergerak maju," tambahnya.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat semalaman di ibu pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Ketika kematiannya, Teoh adalah pembantu politik kepada Exco Selangor dan Adun Seri Kembangan daripada DAP, Ean Yong Hian Wah.

Pada tahun 2011, sebuah suruhanjaya siasatan diraja memutuskan bahawa Teoh membunuh diri selepas disoal secara agresif oleh pegawai-pegawai SPRM.

Pada tahun 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh tindakan "seorang atau beberapa orang yang tidak diketahui", termasuk pegawai-pegawai SPRM yang menyoalnya semalaman sebelum dia ditemui mati.

Sementara itu, Koh pula diculik dari kereta yang dinaikinya pada Februari 2017.

Pada tahun 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyimpulkan bahawa penculikan Koh merupakan kehilangan paksa yang melibatkan Cawangan Khas dari Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Mengenai rusuhan 13 Mei, walaupun laporan kerajaan tentang pergaduhan kaum tersebut telah diklasifikasikan sebagai rahsia - terdapat perselisihan pendapat mengenai sama ada pergaduhan itu berlaku secara spontan atau dirancang.

Laporan rasmi kerajaan mengenai angka kematian seramai 196 orang juga dipersoalkan.