'Parti lain perlu contohi Muda peruntuk separuh kerusi kepada wanita'
Parti-parti politik yang lain patut mencontohi Muda dalam memberikan peluang sama rata terhadap golongan wanita untuk menjadi calon pilihan raya, kata ahli jawatankuasa pusatnya Ainie Haziqah Shafiee.
Ainie berkata langkah Muda untuk memperuntukkan 50 peratus kerusi yang akan ditandinginy pada PRN kali ini kepada wanita adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
"Saya benar-benar rasa parti lain patut contohi Muda.
"Kenapa tidak, perwakilan (50 peratus) itu juga mewakili (nisbah populasi) lelaki dan wanita di negara ini, iaitu kira-kira 50-50?
"Amat penting untuk setiap parti juga, tak kira blok mana sekalipun, untuk pastikan lebih banyak perwakilan wanita di peringkat pihak berkuasa tempatan, DUN mahupun persekutuan," katanya ketika ditemui pemberita selepas aktiviti jualan meraih dana PRN Muda di Kuala Lumpur, hari ini.
Ainie berkata lagi, ada parti politik yang sebelum ini memperuntukkan kira-kira 30 peratus kerusi kepada calon wanita.
"Tapi ini kali pertama sebuah parti baru letakkan 50 peratus (calon) wanita dalam pilihan raya," katanya yang pernah menjadi ketua Srikandi PKR.
Nasi lemak
Sementara itu, hari ini pemimpin dan anggota Muda menjual sarapan pagi seperti nasi lemak, bihun, skon dan teh masala berdekatan sebuah pusat beli-belah di Bangsar, Kuala Lumpur.
Menurut Naib Presiden Muda Siti Rahayu Baharin, mereka menyediakan 109 bungkus nasi lemak dan 50 bungkus bihun pagi ini, yang dijual pada harga RM10 sebungkus untuk membantu parti itu dari segi dana dalam PRN.
Dia berkata, sebanyak 50 skon yang dijual disediakan oleh seorang penyokong parti.
"Kami sasarkan untuk raih RM3,000 hari ini dan rancang untuk buat jualan ini setiap hujung minggu. Kami sasarkan raih sekurang-kurangnya RM10,000 daripada jualan ini.
"Kami ada raih dana secara digital juga. Yang penting kami nak ajak calon-calon kami untuk buat program raih dana. Kami nak nyalakan kreativiti dan imaginasi mereka. Kalau tak boleh masak, mereka boleh buat aktiviti (untuk raih dana kempen mereka)," katanya.
Lebih dikenali sebagai Cikgu Ayu di kalangan anggota Muda, dia berkata parti itu juga cuba membawa pendekatan baru dalam meraih dana pilihan raya.
Dia juga berkata sudah tiba masanya Malaysia menggubal akta pendanaan politik.
"Sampai bila kita nak tengok orang yang ada dana besar saja yang mampu terlibat dalam politik dan bertanding pilihan raya?" katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai