BNM kekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 4-5 peratus
Bank Negara Malaysia (BNM) masih mengekalkan unjurannya untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini antara empat peratus dan lima peratus, kata gabenornya Abdul Rasheed Ghaffour.
Abdul Rasheed berkata permintaan dalam negeri kekal berdaya tahan dan pasaran kerja kini semakin baik, seterusnya menyokong perbelanjaan pengguna.
“Sektor pelancongan pula sedang pulih dengan baik dan dijangka terus berkembang. Malah, syarikat penerbangan juga meningkatkan kapasiti mereka untuk memenuhi permintaan yang lebih tinggi.
“Akhir sekali, projek infrastruktur berbilang tahun juga terus memacu kegiatan ekonomi,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif pertamanya dengan media selepas dilantik memegang jawatan tersebut.
Abdul Rasheed, yang tempoh lima tahun sebagai Gabenor BNM bermula pada 1 Julai, berkata gambaran yang lebih jelas mengenai prestasi bagi separuh pertama tahun 2023 akan diketahui dalam beberapa minggu lagi apabila Jabatan Perangkaan Malaysia menyiarkan KDNK suku kedua bagi tahun 2023.
Dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 yang dikeluarkan pada 29 Mac 2023, BNM berkata ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara empat peratus dan lima peratus pada 2023, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh di tengah-tengah cabaran yang meningkat berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan.
“Sejajar dengan aktiviti perdagangan global yang lebih perlahan, sama seperti yang dicatatkan oleh ekonomi lain, eksport kasar diunjurkan berkembang secara sederhana pada 1.5 peratus pada 2023,” katanya.
Bagaimanapun, pemulihan selanjutnya dalam kemasukan pelancong asing dan pertumbuhan import yang sederhana akan terus memberikan sokongan kepada pertumbuhan eksport bersih, menurut bank pusat itu.
Pada suku pertama 2023, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6 peratus didorong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta dalam persekitaran perbelanjaan isi rumah yang meningkat, aktiviti pelaburan yang berterusan, pasaran buruh yang bertambah baik dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.
Pada 2022, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 8.7 peratus susulan penamatan sepenuhnya langkah-langkah pembendungan Covid-19, pertumbuhan yang mantap dalam eksport khususnya eksport komoditi, pemulihan aktiviti pelancongan dan sokongan dasar yang berterusan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai