Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Apa PN akan menang di Selangor?

Jauh panggang dari api. Ia seperti riak namun itulah sebuah kebenaran jika tinjauan rakyat Selangor diambil kira. Rakyat Selangor menolak politik perkauman dan ekstrim.

Lebih mengembirakan, tuan tubuh yang membawa kecemerlangan Selangor mengakui beberapa persoalan yang menimbulkan pertanyaan di kalangan rakyat.

Amirudin Shari sah bertanding dan kekal menteri besar sekali gus PH/BN tidak menghadapi masalah dan sepakat bahawa Amirudin terus mengemudi Selangor selepas 12 Ogos ini.

Tohmahan dan andaian Amirudin akan diganti tokoh lain hanya cerita cerita yang direka bagi mengelirukan fikiran rakyat Selangor.

Kejayaan dan kecemerlangan Amirudin mengemudi Selangor dalam tempoh lima tahun sejak 2008 menjadikan beliau disenangi tanpa kemarahan rakyat seperti yang berlaku di Kedah dan Kelantan.

Pelbagai isu diicipta untuk memecah belahkan PH/BN namun penjelasan Amirudin dalam pertemuan dengan penulis politik baru baru ini jelas dan mematikan “politik bisik” yang diamalkan oleh pemimpin PN.

Azmin diberi tanggungjawab oleh Muhyiddin Yassin untuk “menghadiahkan” Selangor kepada PN selepas PRN 12 Ogos nanti namun dengan keyakinan Amirudin bahawa PH/BN akan memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan maka angan angan PN hanya tinggal angan angan mat jenin.

Azmin berusaha keras memainkan pelbagai isu dan segala tohmahan dibalas dengan fakta oleh Amirudin tanpa menunggu lama. Maka saat ini, Amirudin penuh yakin bahawa seandainya Azmin kekal bertanding di mana saja kerusi DUN, dia akan tewas dan politik beliau akan tamat selepas PRN.

Difahamkan, kalangan pemimpin terdekat yang setia dengan Azmin kini sudah angkat kaki dan meninggalkan bekas menteri besar itu terkontang-konteng. Maka politik Azmin  ibarat telur di hujung tanduk dan  akan melebarkan lagi rekod kekalahan beliau selepas 12 Ogos.

Kerisauan yang dibangkitkan Azmin hanyalah sandiwara yang cuba memerangkap keyakinan rakyat Selangor terhadap kerajaan PH/malah mereka tiada isu lain dan terpaksa memainkan isu remeh seperti asal usul menteri besar dan masalah dalaman Umno serta kebencian kepada DAP.

Rakyat Selangor langsung tidak termakan oleh slogan kempen “Selangor baru” kerana Selangor sentiasa baru sejak dipimpin oleh kerajaan PH. Akhirnya Selangor Baru hanya tinggal slogan tanpa disahut oleh rakyat selangor yang bijak menilai.

Mewujudkan kestabilan dan pembangunan menyeluruh untuk kepentingan rakyat Selangor adalah kepentingan utama Amirudin Shari. Atas keikhlasan dan kesungguhan ini maka kadar kemarahan rakyat Selangor tidak menyerlah dan tinggi di Selangor berbanding Kelantan.

Cuma bezanya, rakyat Kelantan marah dengan kerajaan PAS tetapi undi tetap diberikan.Tidak seperti di Selangor, PAS dan sekutu dimarah dan ditolak mentah-mentah.

Apapun kali ini mungkin akan ada perubahan berikutan sikap rakyat yang semakin bosan setelah PAS memerintah Kelantan lebih 33 tahun.

Amirudin mengakui, Kemuncak dan peratusan tahap kemarahan hampir tiada di Selangor apabila kebajikan dan prihatin rakyat menjadi agenda utama sepanjang lima tahun sebelum ini.

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor itu mengakui penerusan kerajaan yang ada perlu dikekalkan bagi meneruskan agenda yang sedang, telah dan akan dilaksanakan.

Ia tidak akan berlaku jika berlaku kacau ganggu politik yang ditiupkan oleh mereka yang pernah mentadbir tetapi atas tujuan merebut kuasa maka fakta yang benar cuba disembunyikan ataupun diputar belitkan.

Sesekali apabila “dibakar” oleh Azmin Ali dan pemimpin PN maka rakyat akan marah sekejap sekejap atau marah marah sayang kepada kepimpinan kerajaan Selangor. Mereka tahu, sejak lahir hinggalah habis nyawa,kerajaan Selangor menjaga kebajikan pada tahap yang terbaik menerusi pelbagai program.

Kadar KDNK yang meningkat kepada 25.5% pada 2022 daripada 24.8% pada tahun sebelumnya. Rakyat ternyata bangga dan mendapat manfaat hasil program Jelajah Ehsan yang banyak membantu rakyat di waktu kos sara hidup dan kenaikan harga barangan yang meningkat.

Tiada kenaikan tarif air seperti yang dicanang malah Amirudin pantas menjawab menafikan isu mengarut yang sengaja dicipta itu.

Semua ini meresahkan PN dan kegagalan untuk merampas Selangor semakin jelas dan yang diyakini selepas 12 Ogos kedudukan akan menjadi 5-1 berpihak kepada PH.

Nujum politik yang pro PN mungkin tidak bersetuju namun coretan ini mungkin akan disemak selepas 12 Ogos.


DAHLAN MAAMOR adalah penasihat Media Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.