KPN: Beri keutamaan kenaikan gaji pegawai rendah polis
Gaji dan keperluan pegawai rendah polis akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan lagi integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata gaji yang diperoleh pegawai rendah polis adalah kecil dan tidak dapat menampung kos sara hidup, terutama bagi mereka yang bertugas di bandar besar.
“Kita melihat perkara ini dan ada juga perbincangan bila kita dapat berbincang dengan pihak KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), kita nyatakan perkara ini untuk dilihat semula, salah satunya adalah perkara melibatkan gaji.
“Sebagai contoh seseorang pegawai rendah polis yang bergaji RM2,500 bertugas di kawasan terpencil seperti Kuala Nerang ia agak banyak (gaji), tetapi apabila dia tinggal (bertugas) di Kuala Lumpur dia menjadi miskin bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perjumpaan Ketua Polis Negara bersama Ketua Editor agensi media di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.
Razarudin mendedahkan bahawa terdapat pegawai rendah polis yang bertugas seperti di Kuala Lumpur dan Johor terpaksa menyewa bilik bersama orang lain, kerana kos tempat tinggal yang tinggi.
“Mereka (pegawai rendah polis) terpaksa jimat duit dan dalam kalangan mereka ini yang menyertai PDRM bukan terdiri daripada golongan orang kaya, kebanyakannya golongan berpendapatan sederhana,” katanya.
Sementara itu, Razarudin berkata pegawai muda PDRM yang cemerlang, akan dinaikkan pangkat ke jawatan tertinggi bagi menerajui pasukan keselamatan itu.
Beliau berkata perkara berkenaan telah dibincangkan bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, agar pengurusan perjawatan dalam PDRM memilih pegawai muda yang cemerlang untuk diberikan kenaikan pangkat tersebut.
“Perkara ini penting, supaya apabila berpencen tidak ada satu kumpulan berpencen bersama dan sekurang-kurangnya ada kesinambungan (pegawai) lain yang lebih panjang (tempoh berkhidmat), untuk menjadi pemimpin...pemimpin muda inilah yang akan menjadi barisan tertinggi PDRM,” katanya.
Mengulas lanjut perkara itu, Razarudin berkata keputusan mengetengahkan pegawai muda itu dibuat berikutan berlakunya keadaan apabila terdapat beberapa pengarah yang menerajui jabatan-jabatan PDRM akan berpencen pada tahun yang sama.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai