Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kelantan sedia bas percuma untuk pelajar pulang mengundi

Kerajaan Kelantan akan menyediakan perkhidmatan bas secara percuma kepada penuntut istitusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) untuk pulang mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Menteri besarnya Ahmad Yakob berkata keputusan itu dibuat melalui persidangan majlis mesyuarat kerajaan pada 21 Jun lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri sangat menyedari kepentingan mahasiswa dan mahasiswi dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih demi masa depan negara.

"Pembabitan mereka sebagai pemilih dalam pilihan raya memberi impak yang sangat besar untuk membina negara melalui pentas demokrasi.

"Justeru, hak mereka sebagai pemilih tidak boleh dinafikan hanya disebabkan tekanan ekonomi dan kos sara hidup.

"Berikutan situasi itu dijangkakan kos perkhidmatan pengangkutan akan meningkat dan terhad disebabkan permintaan yang tinggi sewaktu musim pilihan raya sekali gus membebankan penuntut serta ibu bapa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata perkhidmatan akan diuruskan oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan dan pejabat Pengarah Pembangunan Negeri.

Jelasnya, tarikh perjalanan pulang bermula 6 hingga 11 Ogos akan datang dan tarikh kembali ke destinasi asal pula pada 13 hingga 15 Ogos.

"Mahasiswa dan mahasiswi bebas menggunakan hak mereka untuk memilih mana-mana calon atau parti politik yang bertanding tanpa terikat dengan syarat.

“Semoga perkhidmatan ini dapat membantu meringankan beban mereka dan ibu bapa. Untuk keterangan lanjut hubungi pejabat Pengarah Pembangunan Negeri di talian 09-7481180,” katanya.