Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Syed Saddiq jauhkan diri dari 'tok guru', mahu ke hadapan

WAWANCARA | Pernah dianggap sebagai salah seorang anak murid Dr Mahathir Mohamad, nampaknya Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini keberatan mengenang kembali hubungannya dengan bekas 'tok guru'.

Dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini pada hari Selasa, Syed Saddiq berkata bahawa dia lebih suka bergerak ke hadapan untuk memberi tumpuan kepada agenda "politik baru" Muda daripada mengenang masa lalu.

Ketika ditanya sama ada kini malu dengan keakraban yang pernah dikongsi dengan Mahathir, Syed Saddiq mengetepikan soalan itu.

Dia sebaliknya berkata, dia tidak bersetuju dengan cara politik lama yang dilihat masih diamalkan Mahathir pada masa kini.

“Saya rakyat Malaysia dahulu. Dan saya percaya kekuatan negara kita yang tercinta terletak pada kepelbagaian dan institusi kita, bukan pada keperibadian, bukan pada satu bangsa atau agama.

“Ramai menumpukan perhatian untuk melihat ke belakang sehingga mereka lupa bagaimana untuk membawa Malaysia ke hadapan dan itulah sebabnya saya berkata terdapat dua faktor penting yang membezakan antara ‘politik lama’ dan ‘politik baru’.

“Yang pertama ialah menerima kepelbagaian dan bukannya mono-etnik. Dan yang kedua bergantung kepada pembinaan institusi demokrasi yang kukuh dan bukannya fokus kepada personaliti,” katanya.

Mahathir baru-baru ini membuat kenyataan bahawa mempromosikan Malaysia yang berbilang kaum adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Sebelum ini, perdana menteri dua kali itu juga menuduh orang bukan Melayu, tanpa memberikan bukti, mahu "menukar pemilikan dan nama" Malaysia.

Sebagai respons, Syed Saddiq bertanya kepada Mahathir sama ada dia terlupa bahawa salah satu daripada sembilan cabaran strategik yang digariskan dalam Wawasan 2020 - yang dilancarkan pada 1991 semasa memegang jawatan perdana menteri - ialah "Bangsa Malaysia".

“Saya ingin mengingatkan Tun bahawa salah satu tonggak penting ialah membina ‘Bangsa Malaysia’, tanpa mengira kaum, agama dan kelas ekonomi sosial.

“Saya dari generasi itu dan saya masih ingat. Saya mahu terus berjuang untuk ‘Bangsa Malaysia’,” katanya.

Walaupun ia tidak dilihat sebagai percubaan jelas untuk menjauhkan dirinya daripada bekas tok gurunya, Syed Saddiq mengakui bahawa dia mula tidak dekat dengan Mahathir selepas Langkah Sheraton pada 2020.

Syed Saddiq dan Mahathir dipecat daripada Bersatu berikutan pertukaran kerajaan, menyebabkan Mahathir menubuhkan sebuah lagi parti berasaskan Melayu, Pejuang.

Bagaimanapun, Syed Saddiq memilih untuk tidak menyertai Pejuang dan sebaliknya menubuhkan Muda - sebuah parti berbilang kaum yang dipimpin oleh belia.

“Saya memasuki pilihan raya bersama-sama dengan gabungan berbilang kaum (Pakatan Harapan) dengan rangka kerja dasar yang jelas untuk reformasi dan sehingga hari ini, mempertahankan platform kepelbagaian dan kesederhanaan,” kata bekas menteri belia dan sukan itu.

Semasa Muda diasaskan, Mahathir mengkritiknya, menyatakan keraguan terhadap bahawa parti belia berbilang kaum itu.

Dia kemudian menjelaskan bahawa dia merujuk kepada kemandirian parti baru itu dalam pilihan raya, kerana ia hanya akan memecahbelahkan sokongan pengundi, terutama dalam kalangan orang Melayu.

Susulan pengumuman Syed Saddiq minggu lalu bahawa Muda akan bertanding solo di semua enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, Mahathir sekali lagi cuba melemahkan semangat parti yang masih baru itu.

Dia menegaskan tiada sebab untuk parti itu bertanding sekiranya ia tidak menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan.

Syed Saddiq dan pemimpin Muda yang lain secara aktif menentang retorik perkauman Mahathir di media sosial.

Mengenai peluangnya dalam pilihan raya negeri, presiden Muda itu memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu akan bermula dari kecil dalam apa yang disifatkannya sebagai perjalanan selama beberapa dekad untuk mendapatkan sokongan.