Dakwa diugut ahli MIC, pembantu Sivarraajh buat laporan polis
Pembantu Senator C Sivarraajh membuat laporan polis berhubung ugutan yang didakwa dibuat oleh seorang ahli MIC.
Menurut S Mathiswarman, dakwaan ugutan itu diterima selepas dia membalas komen di Instagram yang menghina Sivarraajh yang keluar dari MIC minggu lalu.
"Saya terjumpa catatan Instagram satu portal berita mengenai bos saya yang keluar MIC dan komen lelaki itu, yang merupakan bekas ketua Pemuda MIC Wilayah Persekutuan.
"Komen itu membawa maksud Sivarraajh sebagai seorang yang tidak mengenang budi yang telah melupakan segala bantuan yang diberikan oleh Datuk Seri (timbalan presiden MIC M Saravanan) semasa dalam MIC," kata Mathiswarman dalam laporan polisnya yang dibuat di balai polis Bayan Baru di Pulau Pinang, semalam.
Lelaki itu akan dirujuk sebagai "Aru" memandangkan suspek jenayah tidak boleh dinamakan sebelum dia didakwa di mahkamah.
Mathiswarman mendakwa "Aru" seterusnya menggesa Sivarraajh supaya tidak "gila kuasa" dan insaf.
Mathiswarman berkata dia kemudian membalas komen tersebut, membayangkan "Aru" tidak layak untuk memberi nasihat berkenaan sikap mengenang budi kerana dia juga pernah mendapat manfaat secara peribadi dari Sivarraajh sebelum ini.
"Selang beberapa minit, saya menerima panggilan daripada nombor ‘Aru’, tetapi tidak dapat menjawab kerana sibuk dengan tugasan lain.
"Bagaimanapun, apabila saya menghubunginya kemudian, Aru mengugut untuk memukul dan mencincang saya jika dia melihat saya selepas ini," kata Mathiswarman ketika dihubungi.
Mathiswarman yang sentiasa berulang alik antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur atas urusan kerja, membuat laporan polis itu kerana bimbang akan keselamatan dirinya.
Katanya lagi, dia turut menerima beberapa panggilan daripada seorang lagi ahli MIC yang dikenalinya sebagai penyokong Saravanan tetapi tidak menjawab panggilan itu kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan.
Mathiswarman berkata dia telah memadamkan komen balasan yang dibuatnya di Instagram tetapi kawan-kawannya tetap menasihatinya untuk berhati-hati.
"Saya membuat laporan ini kerana bimbang keselamatan saya dan menggesa polis mengambil tindakan segera," katanya dalam laporan itu.
Difahamkan, suspek yang didakwa membuat ugutan terhadapnya telah ditahan di Kuala Lumpur oleh pasukan polis Pulau Pinang, hari ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai