Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Azmin kesal pilih Amirudin sebagai pengganti di Selangor

Bekas menteri besar Selangor Azmin Ali menyuarakan penyesalannya atas keputusan menjadikan Amirudin Shari sebagai penggantinya pada 2018.

Azmin antara menteri besar pertama yang mengangkat sumpah selepas PRU 2018. Namun dia dilantik menjadi menteri kabinet 10 hari kemudian dan perlu melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak 2014.

Dalam wawancara bersama Malaysia Now yang disiarkan hari ini, Azmin berkata dia mencalonkan Amirudin sementara PKR menamakan Adun Ijok Dr Idris Ahmad.

"Mungkin saya tersilap pilih ketika itu, tetapi asasnya saya memikirkan Selangor memerlukan menteri besar yang muda dan progresif yang mampu meneruskan dasar-dasar yang telah berjaya sebelum ini.

"Malangnya andaian saya silap. Kegagalan dia untuk meneruskan agenda kepedulian rakyat. Prestasi ekonomi Selangor semakin buruk,” katanya seperti dipetik.

Amirudin, 43, dahulu dilihat sebagai protege kepada Azmin.

Bagaimanapun dia membuktikan kesetiaannya kepada PKR dengan menewaskan Azmin di kerusi Parlimen Gombak - yang dipegang Azmin selama tiga penggal - pada PRU lalu.

Sebagai pengerusi PN Selangor, Azmin akan sekali lagi berdepan dengan Amirudin pada PRN kali lini.

Dalam wawancara itu, Azmin turut mengkritik pencapaian Amirudin sebagai menteri besar, dengan mendakwa Selangor menduduki tempat ketiga dalam pelaburan bagi suku pertama tahun ini.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Selangor berada di tempat kedua pada 2022.

Azmin berkata jumlah pelaburan di Selangor semasa pentadbiran Amirudin tidak boleh dibandingkan dengan pentadbiran terdahulu ketika Selangor dianggap sebagai "negeri pembangkang".

Azmin juga menuduh Amirudin cuba meraih nama daripada untuk pelaburan Amazon Web Services (AWS) berjumlah RM25 bilion di Selangor.

"AWS ketika itu melihat kemungkinan untuk melabur ke Melaka, tetapi saya berikan hujah-hujah dan saya rasa AWS wajar diletakkan di Selangor," katanya.

AWS menyatakan komitmen untuk membuka pusat data di Malaysia semasa Azmin menjadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Azmin bertemu wakil AWS di San Francisco, Amerika Syarikat pada Mei 2022.

Dia turut mengkritik keputusan penggantinya itu yang mahu menamatkan subsidi bekalan air untuk 20 meter padu pertama.

"Hari ini atas nama penjajaran semula, Amirudin kononnya berikan kepada golongan B40. Tetapi dia lupa, akibat pandemik golongan M40 pun sudah jadi B40,” katanya.

Azmin juga menyangkal hujah penyokong Pakatan Harapan (PH) bahawa rizab Selangor telah meningkat di bawah Amirudin.

"Apa makna rizab besar yang digembar-gemburkan? Saya guna rizab untuk perbelanjaan pembangunan. Bukan kerja kerajaan untuk simpan rizab," katanya lagi.