Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PAS tak rayu keputusan mahkamah atas saman Mujahid

PAS membuat keputusan untuk tidak merayu atas keputusan mahkamah menolak permohonan mereka membatalkan saman fitnah Naib Presiden Amanah Muhajid Yusof.

Peguam PAS, Mohd Faizi Che Abu, mengesahkan parti terbabit tidak akan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat pada 21 Jun lalu.

“Keputusan (PAS ialah) tiada rayuan akan dibuat,” kata peguam itu ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Faizi menambah tindakan sivil ditetapkan untuk perbicaraan penuh dari 24 hingga 26 Nov 2025.

Pada 21 Jun, mahkamah menolak cubaan PAS membatalkan saman fitnah dikemukakan Mujahid. Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh juga mengarahkan PAS membayar RM3,000 kepada bekas menteri agama terbabit sebagai kos.

Mujahid mengemukakan saman ke atas PAS ekoran sebuah tulisan yang diterbitkan Facebook parti berkenaan pada 16 Okt tahun lalu.

Antara lain hantaran berkenaan menggambarkan Mujahid - sebagai menteri agama kerajaan PH - membenarkan, menyokong, dan menerima komuniti LGBT.

Ketika memfailkan saman tersebut pada Jan lalu, Mujahid mendakwa hantaran berkenaan telah merosakkan reputasi dan kredibilitinya, serta menyebabkan tekanan perasaan.

Bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu menyaman PAS melalui setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan, yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.