Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOMENTAR | Kelantan dan topeng-topeng politik

KOMENTAR | Kami jarang bersapa walaupun jarak meja di antara kami hanya beberapa meter sahaja. Rakan-rakan di tingkatan Lima A Sekolah Menengah Ismail Petra (SMIP) Kota Bharu memberi tumpuan setiap kali gadis-gadis manis itu melintas.

"Dia anak orang besar, driver hantar sekolah setiap hari," bisik seorang rakan.

Saya tidak peduli kerana 1977 adalah detik untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya - seperti rakan-rakan lain - adalah anak orang biasa-biasa. Kami membesar dengan lumpur sawah dan hamis perdu getah.

Ada dalam kalangan kami hanyalah anak nelayan dan buruh kontrak.

Saya tidak peduli bisikan tentang gadis itu walaupun sudah setahun sama tingkatan dengan kami.

Pandangan saya terhadap pelajar bernama Aishah Mohamed itu hanya berubah apabila pada suatu hari ayahnya datang ke kelas kami dengan iringan beberapa polis.

Saya lihat wajah Aishah kemerah-merahan apabila guru besar memperkenalkan kehadiran pelajar itu. Dia ialah menteri besar ketika itu, Mohamed Nasir.

Ketika itu politik Kelantan yang awalnya tenang tiba-tiba bergolak apabila wujud sengketa membabitkan Mohamed dan Presiden PAS, Asri Muda.

Pendedah penyelewengan

Mohamed dianggap belot kepada parti kerana dikatakan lebih mendengar cakap Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ketua Umno Kelantan. Ketika itu Tengku Razaleigh juga salah seorang Naib Presiden Umno.

Dia memiliki pengaruh yang kuat di peringkat nasional sejak era Abdul Razak Hussein.

PAS mendakwa Mohamed bertindak mendedahkan kepada umum isu pemberian konsesi tanah, perlombongan dan kayu balak kepada beberapa syarikat di Kuala Lumpur (Dinamika Politik Kelantan 1970-1990: 91).

Suhu politik Kelantan panas apabila rakyat mulai meragui PAS yang sebelumnya dianggap Islamik namun terkait dengan dakwaan pengikis hutan rimba untuk kekayaan segelintir pimpinan.

Mohamed dianggap tokoh yang jujur dan pendedah penyelewengan.

Beberapa demonstrasi kecil-kecilan berlaku di beberapa kawasan di Kota Bharu sebelum memuncak pada 24 Sept 1977. Kami turut hadir di beberapa lokasi untuk melihat kemarahan orang ramai terhadap kerajaan PAS Kelantan.

Asri Muda

Kami merakam jeritan demonstran yang membantah kumpulan 20 Adun PAS yang cuba menyingkirkan Mohamed sebagai melalui usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Usul itu dibawa oleh Adun Simpangan, Hussin Abdullah, dan disokong oleh Adun Bandar Pasir Mas, Hashim Omar. Selepas undian dijalankan usul tersebut diluluskan dengan 20 Adun menyokong dan 16 menentang (Warta Kerajaan Negeri Kelantan, 16 Feb 1978).

Usul tersebut mencetuskan tunjuk perasaan yang didakwa disertai "seramai 80,000 orang". Langit Kota Bharu gelap dengan asap tebal. Ada yang bakar tayar. Ada juga yang selongkar kedai runcit. Tidak kurang juga yang bertindak menyerbu ke kediaman wakil-wakil rakyat PAS yang dianggap kaya dengan duit balak.

Helikopter berlegar di udara. Terdengar suara amaran yang menyuruh orang ramai bersurai. Namun kemarahan menjadi kegilaan untuk merusuh, ramai yang terkena gas pemedih mata.

PAS tersingkir dari BN

Dewan besar sekolah kami jadi lokasi perteduhan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) polis yang didatangkan dari beberapa negeri untuk mengamankan keadaan.

Kerajaan Persekutuan mengadakan perintah berkurung 24 jam di beberapa kawasan di Kota Bharu. Kami yang terperangkap di asrama akhirnya bersabahat dengan anggota FRU yang baik dan ramah.

Sikap mereka di sekolah memang sangat berbeza berbanding semasa bertugas menyurai tunjuk perasaan sebelumnya. Bahkan mereka bermurah hati hadiahkan kami singlet dan kaset lagu D'Lloyd, Santana dan lagu-lagu dari filem Bobby.

Rakan-rakan saya yang merokok tidak segan silu ‘meminjam’ daripada mereka untuk melepaskan gian.

Kami berpelukan dan menangis apabila FRU dibawa keluar dari asrama kerana sejak beberapa minggu mereka sebahagian daripada kami.

Dalam memulihkan semula keamanan di Kelantan, Perdana Menteri Hussein Onn mengambil kesempatan membentangkan usul Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat 1977 di Dewan Rakyat pada 8 Nov 1977.

Usul itu diluluskan dengan 118 undi menyokong dan 18 undi menentang.

Bantahan ahli parlimen PAS terhadap usul tersebut menyebabkan parti itu tersingkir dari BN.

Apabila pentadbiran Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditarik balik atau dibubarkan di Kelantan, pilihan raya negeri (PRN) diadakan di Kelantan pada 11 Mac 1978 yang menyaksikan PAS kehilangan kuasa.

Melalui PRN tersebut PAS hanya wujud dalam DUN Kelantan melalui kerusi Sering dan Manek Urai.

Gugat kuasa di Kuala Lumpur

Namun suhu politik Kelantan tidak menjadi dingin juga walaupun PAS tidak lagi berkuasa. Umno yang berkuasa kemudian membentuk naratif baru yang cukup mendebarkan.

Untuk rekod ketika itu Tengku Razaleigh bukan sekadar Naib Presiden Umno tetapi ahli parlimen yang berkuasa selaku menteri kewangan. Kuasa besar yang ada pada anak raja Kelantan itu berpotensi menggugat sesiapa sahaja yang berkuasa di Kuala Lumpur.

Kelantan menjadi landasan untuk cita-cita nasional.

Tengku Razaleigh Hamzah

PAS yang masih lemah pada era 1980-an kemudian mendapat nafas baru apabila watak-watak baru yang pulang dari Timur Tengah. Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang, Fadzil Noor dan Abu Bakar Chik menjadi pelapis baru selepas Asri dan Hassan Adli Mohd Arshad.

Mereka lebih vokal dalam isu negara Islam.

Tiba pula giliran Umno yang bergolak apabila Tengku Razaleigh menentang Musa Hitam untuk jawatan timbalan presiden parti sebanyak dua kali. Ia mencapai kemuncaknya pada 1987 apabila Tengku Razaleigh bertindak lebih berani.

Dia mencabar Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan presiden Umno.

Kesan kemelut itu ialah Umno diharamkan pada 1988. Penubuhan Umno baru tidak membenarkan penyertaan Tengku Razaleigh. Justeru anak bangsawan Kelantan itu menubuhkan Semangat 46 yang akhirnya bergabung dengan PAS membentuk Angkatan Perpaduan Ummah.

Saya bertugas di akhbar Watan selepas Operasi Lalang 1987. Kajian lapangan yang kami lakukan mendapati sentimen rakyat Kelantan kepada PAS semakin pulih – berbeza dari 10 tahun sebelumnya, yakni ketika setiap hari kami menjeling Aishah di dalam kelas.

Tempoh sedekad nampaknya membezakan pandangan rakyat kepada sesebuah parti. Bagi yang taasub, PAS era Asri dianggap sekular kerana dianggap kurang terdedah kepada politik di Timur Tengah berbanding generasi terkemudian.

Amanat politik yang memperalatkan agama turut memberi kesan kepada penduduk Pantai Timur. PRU pada 1990 membuktikan betapa politik adalah segala-galanya bagi sesetengah orang di negara ini.

PAS datang dan pergi dengan pelbagai wajah dan topeng.

Rakyat menjadi mangsa. Di antara 1977 dan 1990, Kelantan kekal sebagai bidak percaturan. Pemimpin dan wakil rakyat bersilih ganti, namun kemiskinan tetap menjadi realiti di Kelantan.


IMLAN ADABI ialah penulis dan wartawan sejak 1980-an.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.