Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOMENTAR | Tak rugi Muda bergerak solo

KOMENTAR | “Jika kamu bertanding solo dan menang beberapa kerusi, apa yang kamu boleh buat?” tanya Dr Mahathir Mohamad.

Itu soalan paling tepat untuk melihat pendirian Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding sendirian dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Selain itu, Mahathir mahu menegaskan bahawa keputusan Muda tersebut sebenarnya sia-sia kerana mereka tidak boleh pun membentuk kerajaan.

Mungkin ia adalah teguran luhur lagi realistik daripada Mahathir, bahkan mungkin datang dari hati nurani yang ikhlas selepas partinya tahun lalu 'lebur' ketika PRU ke-15 lalu.

Sementara itu memang ada pemimpin parti kerajaan cuba memujuk Muda untuk mengkaji semula pendirian mereka. Misalnya Setiausaha Politik Perdana Menteri Shamsul Iskandar Md Akin, dan veteran DAP, Lim Kit Siang.

Pendirian Muda kali ini sebenarnya betul, cuma tidak tepat dari sudut konteks masa. Jika pendirian itu dibuat lebih awal - iaitu sebelum dewan undangan negeri (DUN) mula dibubarkan - pasti ia dapat mengutip beberapa sokongan menuju PRN.

Kalau Muda bijak bermain sentimen mereka boleh menjadi tempat menarik pengundi yang kecewa dengan kerajaan perpaduan dan PN. Muda berpeluang menjadi pilihan ideal bagi pengundi yang muak dengan perkembangan politik semasa.

Ada kekuatan sendiri

Malangnya, pendirian Muda itu agak janggal kerana mereka menyiapkan diri untuk bertarung dengan parti dalam kerajaan ketika mereka sendiri adalah sebahagian daripada kerajaan.

Ia seperti BN bertarung dengan PN dalam PRN Johor dan Melaka sebelum PRU ke-15 lalu.

Apa pun keputusan Muda adalah tindakan kolektif mereka sendiri. Baik dan buruk impaknya nanti harus dipikul sendiri. Asas itu perlu dihormati setidak-tidaknya dalam ruang lingkup politik.

Boleh difahami, pendirian tersebut terbentuk atas kekecewaan Muda dalam banyak hal bersama kerajaan. Pertama, sikap sambil lewa PH membincangkan penyertaan Muda dalam gabungan berkenaan.

Kedua, suara Muda dipinggirkan kerajaan hari ini dalam isu dasar mahupun keputusan politik.

Di sebalik kekecewaan itu, Muda mempunyai kekuatan tersendiri yang kian mendapat tempat dalam kalangan rakyat, khasnya belia.

Pertama, Muda konsisten mengangkat perbincangan dasar awam. Komitmen seperti menekankan dasar bayaran pelatih industri (internship) buat graduan muda di sektor awam dan swasta mendapat perhatian belia.

Begitu juga dengan isu-isu ekonomi rakyat yang digarap Muda dalam penyampaian media sosial.

Malah, perjuangan Muda dalam isu pelatih industri disambut Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengatakan kerajaan bersetuju bayaran yang diterima mereka terlalu rendah dan tidak munasabah.

Selepas itu, barulah sayap pemuda parti kerajaan terhegeh-hegeh memfokuskan isu tersebut yang asalnya dipelopori Muda.

Kedua, Muda aktif menganjurkan program latihan bagi mengetengahkan bakat pemimpin belia sama ada melalui parti atau pertubuhan. Ia dapat dilihat daripada program Women in Power yang dikepalai oleh Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz.

Terbukti bukan batu nisan

Program itu mengasah bakat pemimpin wanita muda menjuarai isu-isu kontemporari seperti pekerjaan, kebajikan, dan hak kewanitaan. Perkara itu lesu dan tidak berjalan dalam sayap pemuda parti, sama ada di pihak kerajaan mahupun PN.

Terdapat segelintir pihak silap menghitung perkembangan Muda. Kanta politik ala-ala 1990-an digunakan untuk memburukkan parti baru itu serta personaliti pemimpinnya.

Faktanya, Muda adalah sebuah parti politik, bukan ‘sayap pemuda’ seperti yang dilihat parti-parti lain.

Sikap egoistik sesetengah pihak - khususnya dalam PH - memang agak janggal. Mereka harusnya sedar PKR pernah diwakili hanya satu kerusi di Dewan Rakyat selepas PRU 2004.

BN ketika itu menggelar PKR sebagai parti nyamuk dan satu kerusi itu menjadi simbol ‘batu nisan’ buat parti berkenaan.

Tetapi, atas gelombang kuasa rakyat sejak 2008 dan kerjasama parti rakan menyebabkan PKR memenangi kerusi lebih banyak dan membentuk kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.

Malah, parti itu sekarang adalah parti perdana menteri!

Kata kunci di sini adalah kuasa rakyat. Berdirinya PH sekarang adalah atas dasar gelombang rakyat yang jumlahnya lebih ramai daripada ahli akar umbi parti.

Jika suatu ketika dahulu PAS dan DAP boleh menerima parti satu kerusi seperti PKR, mengapa tidak dengan Muda?

Muda memiliki prinsip yang bermaruah. Meskipun hanya ada satu kerusi di Dewan Rakyat, ia mengambil langkah bermakna dengan mengeratkan kerjasama dengan PH sama ada sebelum atau selepas PRU ke-15.

Ia berbeza dengan parti lain yang juga ada satu kerusi seperti Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang terang-terang menyokong PN dan mahu menyertai BN sebelum PRU.

Selepas kerajaan terbentuk, wakil rakyatnya diberikan tempat dalam agensi kerajaan.

Muda sebenarnya tidak rugi jika terus dengan ketetapan mahu bertanding solo.

Pengalaman itu nanti akan mendewasakan Muda yang tersepit dengan percaturan politik lapuk. Jika tewas sekalipun, Muda masih ada ruang untuk membina kapasiti yang kukuh untuk tempoh jangka panjang.

Cuma saya tetap skeptikal dengan pendirian Muda untuk bergerak solo. Bukan apa, Muda pernah membuat pendirian flip-flop untuk ‘berkecuali’ dalam PRN Melaka pada 2021 setelah rundingan kerusi dengan PH gagal.

Lebih menjengkelkan lagi apabila Muda bercadang bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk enam PRN mendatang.

Persoalannya, adakah PSM dapat berkompromi dengan ideologinya yang kritikal terhadap pasaran bebas dan anticukong bersama Muda? Atau, adakah itu hanyalah pakatan emosi kerana semua tidak berpuas hati dengan musuh?

Kali ini, Muda harus berani melawan arus. Jangan ada pusingan U pada saat-saat akhir nanti. Jika tidak, maka pengumuman dibuat Muda baru-baru ini hanya menjadi gimik murahan sahaja.

Pelik bin ajaib - Muda yang lebih baik prestasinya dalam pilihan raya terpaksa memilih PSM untuk menang beberapa kerusi dalam PRN? Ia tidak kena dengan cara. Lebih baik terus berjalan tegak dan melangkah solo.

Soalan yang paling penting, apa pendirian Muda selepas PRN nanti dalam kerajaan?


FAKHRURRAZI RASHID ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.