Punithan keluar parti untuk sertai PN, kata presiden MIC
Ketua Pemuda MIC Selangor P Punithan yang mengumumkan keluar daripada parti itu pada hari ini dikatakan akan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Presiden MIC SA Vigneswaran menjelaskan perkara itu ketika diminta mengulas keputusan Punithan yang juga bekas ahli majlis kerja tertinggi (CWC) MIC itu.
"Beliau (Punithan) datang jumpa saya dua hari yang lalu. Kami berbincang panjang lebar mengenai politik dan masa depan dia.
"Dalam perjumpaan itu, dia memberitahu hasratnya bahawa ingin keluar dari MIC dan meneruskan karier politik bersama PN.
"Saya menerima keputusan dia. Saya dengan ini mengucapkan selamat maju jaya kepada saudara Punithan bersama PN," katanya.
Pagi ini, Punithan mengumumkan keluar dari parti. Dia memaklumkan perkara itu kepada Vigneswaran menerusi sepucuk surat bertarikh hari ini.
Dalam surat itu, Punithan berkata dia melepaskan jawatan sebagai ketua Pemuda MIC Selangor dan ketua Pemuda MIC cawangan Bandar Baru Batang Berjuntai (Kuala Selangor) berkuatkuasa serta-merta.
Punithan merupakan pemimpin kedua MIC bertindak keluar dari parti itu dalam masa seminggu.
Terdahulu, bekas naib presiden MIC C Sivarraajh (gambar, atas) meninggalkan parti itu.
Sivarraajh yang juga senator Dewan Negara berkata keputusannya meninggalkan MIC itu terbaik buat dirinya dan juga parti memandangkan dia dikatakan menjadi "ancaman" kepada kepimpinan parti sedia ada.
Sivarraajh dipecat daripada jawatan ahli majlis kerja tertinggi MIC pada awal bulan ini.
Walaupun mendakwa dia tidak dimaklumkan sebab pemecatannya namun sumber MIC memberitahu tindakan itu ekoran kegagalannya menghadiri program 'Madani Government: Educational Development and Future of Indians' di Shah Alam pada 10 Jun lalu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Program itu anjuran Biro Pendidikan MIC dengan sokongan Mitra (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai