Sayap Bersekutu Bersatu bergolak?
Sayap Bersekutu Bersatu dikatakan sedang bergolak selepas sekurang-kurangnya tiga pemimpin penajanya dipecat serta merta.
Ini di tengah-tengah persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Penolong Setiausaha Sayap Bersekutu Bersatu Dr Richard Ng memaklumkan perkara tersebut melalui satu surat bertarikh 16 Jun 2023.
Katanya, dia mendapat arahan bahawa pelantikan ahli jawatankuasa penaja Sayap Bersekutu Bersatu Kebangsaan yang sedia ada telah ditamatkan berkuatkuasa serta merta.
"Satu jawatankuasa penaja yang baru sedang dalam proses pelantikan.
"Sehubungan dengan itu, pemimpin yang dipecat diminta untuk tidak menggunakanjawatan yang lama dalam sebarang surat-menyurat dan komunikasi dengan masyarakat," kata Ng dalam surat tersebut.
Namun, surat itu tidak menjelaskan siapa yang memberikan arahan pemecatan tersebut. Surat itu juga tidak menyebut nama pemimpin yang dipecat.
Beberapa sumber parti Bersatu memberitahu Malaysiakini bahawa tiga pemimpin tersebut ialah naib ketua sayap bersekutu parti Dr Mahaganapathy Dass, ketua penerangannya S Subramaniam dan ahli jawatan kuasa MU Raja.
Ketika dihubungi, S Subramaniam (gambar, atas) mengesahkan dia telah melihat surat tersebut.
"Ya, saya boleh sahkan melihat surat tersebut. Ini adalah 'pemecatan' kedua saya dalam masa tiga minggu.
"Kali pertama, saya dimaklumkan menerusi teks WhatsApp sahaja. Kali ini surat dikeluarkan tanpa menyebut nama pemimpin yang dipecat.
"Saya menerima keputusan Chong untuk memecat saya kerana melantik dan memecat seseorang AJK adalah kuasa beliau tetapi saya mengharapkan Chong dapat memberikan alasan yang kukuh ke atas pemecatan saya kerana pemecatan tanpa alasan akan memberikan impak yang tidak baik," katanya merujuk pengerusi Sayap Bersekutu Bersatu.
Kata Subramaniam, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, MU Raja pula berkata dia masih belum menerima surat pemecatan.
"Saya tidak menerima sebarang surat. Bagi saya, saya masih AJK Bersekutu," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi pengerusi sayap Bersekutu Chong Fat Full untuk mendapatkan komen.
Bersekutu Bersatu ditubuhkan pada 2021, selaku sayap dalam parti yang mewakili ahli bukan bumiputera.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai