Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bertanding solo: Muda mahu buat kejutan atau bunuh diri?

Tidak mustahil Muda mencipta peluang untuk dirinya sendiri dengan bertanding solo dalam kesemua enam pilihan raya negeri akan datang, kata penganalisis.

Bagaimanapun, penganalisis berkata mereka berpeluang membuat kejutan hanya jika parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu mengatur langkah politik yang betul.

Mereka berpandangan bahawa parti politik yang mementingkan golongan belia pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mampu menembusi kerusi berdaya saing dan terpinggir.

Bagaimanapun, seorang pemerhati politik menyifatkan aksi solo Muda sebagai "misi bunuh diri".

Wong Chin Huat

Bercakap kepada Malaysiakini, pensyarah politik di Universiti Sunway, Wong Chin Huat berkata Muda mesti mengelak daripada hanya menyasarkan kerusi bandar dan pelbagai etnik dalam usaha untuk menarik pengundi daripada parti komponen PH - PKR, Amanah dan DAP.

Ini, kata Wong, hanya akan menyebabkan penyokong PH membelakangkan Muda.

“Namun, jika Muda bijak, ia harus memilih campuran kerusi, tidak melebihi 10 peratus di setiap negeri. Ini kerana bertanding kerusi terhad menunjukkan bahawa ia tidak akan punya daya 'menggegarkan'.

“Pemilihan kerusi hendaklah termasuk kerusi yang kini dipegang oleh PN dan dilihat sebagai bukan kerusi PH-BN serta kerusi yang sebelum ini disandang oleh PH tetapi diserahkan kepada BN,” katanya.

Tambahnya, adalah bijak bagi Muda untuk melatih perhatiannya untuk memenangi hati pengundi, terutamanya dua kumpulan pengundi tertentu yang cuba diraih PH dan BN.

“Kumpulan pertama ialah pengundi muda yang pergi kepada PN kerana rasa tidak puas hati terhadap Umno dan tidak percaya dengan PH.

“Satu lagi ialah kumpulan pengundi yang penat dengan politik atau tidak berminat, yang boleh meningkat sehingga sekitar 40 peratus dalam pilihan raya negeri.

“Jika Muda boleh memenangi kira-kira separuh daripada undi kumpulan ini, itu secara automatik akan mendapat undi daripada penyokong PH,” kata Wong lagi.

Pada 26 Jun, Syed Saddiq, ketika mengumumkan Muda bertanding secara solo, berkata ia tidak akan tunduk dengan dakwaan tindakan itu hanya akan mengakibatkan "pecah undi". Dia turut menafikan keretakan hubungan dengan PH ada kaitan dengan rundingan peruntukan kerusi.

Ahli parlimen Muar itu menjelaskan bahawa Muda akan membawa "politik baru" dalam kempen PRN, yang akan melangkaui kepartian dan akan berkisar kepada keperluan dan prinsip rakyat.

Oktober lalu, Muda menyertai pakatan pilihan raya dengan PH untuk pilihan raya umum ke-15. Pada masa itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Muda tidak dijadikan parti komponen kepada gabungan pembangkang ketika itu kerana ia memerlukan kelulusan Pendaftar Pertubuhan.

Bagaimanapun, tidak ada kemajuan mengenai perkara itu sejak itu.

'Pecah undi PH, bagi menang PN'

Sementara itu, profesor sosiologi politik Universiti Sains Malaysia, Sivamurugan Pandian menegaskan bahawa tidak mustahil untuk Muda memecah undi PH, untuk memihak kemenangan kepada PN.

“Saya rasa Muda jelas cuba menunjukkan bahawa walaupun mereka tidak diiktiraf dalam PH, mereka sanggup pergi secara solo dan mungkin, boleh mendapat sebahagian daripada blok undi daripada golongan muda.

"Jika Muda membahagikan sebahagian besar undi yang sepatutnya diberikan kepada PH, itu akan memberikan kelebihan kepada PN," katanya.

Sivamurugan Pandian

Bagaimanapun, Sivamurugan (gambar, atas) berpendapat Muda tidak mempunyai jentera dan dana yang cukup kuat untuk meletakkan dirinya sebagai "kuasa ketiga".

Sambil menunjukkan Muda tidak berjaya dalam pilihan raya sebelum ini, penyarah itu berkata penyertaan solo Muda dalam PRN kali ini akan menjadi ujian kepada parti itu dan seterusnya mempersiapkan mereka untuk pilihan raya umum akan datang.

“Mungkin juga mereka mahu menguji sokongan dalam kalangan belia, kini mereka yang berumur 18 tahun ke atas boleh mengundi.

"Sekiranya mereka gagal, mungkin mereka mahu menangani apa yang silap dan bagaimana untuk membuat persediaan yang lebih baik untuk pilihan raya umum akan datang," katanya.

Tawaran Muda, selain pesona Syed Saddiq

Bagaimanapun, penyelidik kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berbeza pandangan, berkata ia langkah terdesak oleh "budak baru dalam politik" selepas Muda "dijauhi" oleh PH.

Oh (gambar, bawah) berkata keputusan Muda itu tidak akan menjejaskan peluang kerajaan campuran untuk muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya negeri kerana pengundi tidak mungkin memilih parti itu.

“Mereka tidak mungkin menembusi ke kawasan pengundi Melayu yang konservatif.

Oh Ei Sun

“Dan masalah dengan kerusi bandar ialah kehadirannya tidak cukup berkesan, kedudukan Muda tidak di sini mahupun di sana.

"Jadi mereka akhirnya menguntungkan PN dengan memecahkan undi PH, walaupun jumlahnya kecil,” katanya kepada Malaysiakini.

Oh berkata dia tidak yakin dari segi keupayaan Muda untuk membuat perubahan secara realistik.

"Muda mempunyai sangat sedikit untuk ditunjukkan selain daya tarikan pengasasnya (Syed Saddiq)," katanya berjenaka.

“Saya hanya boleh mengagumi keberanian mereka. Asas sokongan mereka bertindih dengan PKR dan DAP, yang merupakan parti pemerintah.

"Ini adalah misi bunuh diri," katanya.

Kedah, Terengganu dan Kelantan yang diperintah PAS serta Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai PH akan mengadakan PRN tidak lama lagi.

[Baca berita asal]